MBPJ bantu golongan asnaf

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Sayuthi Bakar menyerahkan barangan bantuan kepada salah seorang penerima bantuan, Suaslina Rahim.
Datuk Bandar MBPJ, Datuk Sayuthi Bakar menyerahkan barangan bantuan kepada salah seorang penerima bantuan, Suaslina Rahim.
A
A
A

PETALING JAYA - Sempena Ramadan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) buat julung kalinya menganjurkan Program Jalinan Kasih Datuk Bandar Bersama Masyarakat Miskin Bandar di Petaling Jaya.

Difahamkan, selain mengeratkan silaturahim, program ini juga bertujuan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf terlibat.

Menerusi satu kenyataan, Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan bahawa walaupun Petaling Jaya diisytiharkan sebagai bandar raya pada tahun 2006, namun masih terdapat penduduk di kawasan ini yang bertaraf asnaf dan memerlukan bantuan.

"Berdasarkan rekod data, bilangan penduduk miskin bandar di Petaling Jaya adalah sebanyak 1,500 orang. Dan sehingga 3 Mei lalu, sebanyak 60 orang penduduk miskin bandar telah diberikan sumbangan sebanyak RM300 oleh MBPJ," katanya.

Menerusi program tersebut, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dan isterinya, Datin Zuraida Dahari selaku Pengerusi Puspanita MBPJ turut menyerahkan sumbangan kepada empat keluarga asnaf terpilih.

Kenyataan itu berkata, kriteria pemilihan penerima sumbangan ini adalah terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), miskin bandar dan ibu tunggal yang mempunyai anak-anak OKU.

"Bantuan yang diberikan adalah barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, bihun, dan lain-lain.

"Selain itu MBPJ turut menyampaikan pakaian raya kepada asnaf terpilih dan setiap keluarga turut menerima baucar belian barangan kegunaan harian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MBPJ juga menyampaikan sumbangan mesin pengadun makanan kepada keluarga asnaf terlibat supaya dapat membantu mereka menjalankan perniagaan yang secara tidak langsung dapat menjana pendapatan selepas ini.