Terengganu fokus wujudkan kawasan industri baharu

Ahmad Samsuri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan mengurangkan kebergantungan pada royalti petroleum dengan melakukan beberapa pendekatan untuk menambah hasil negeri termasuk mewujudkan kawasan industri baharu di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rancangan untuk mewujudkan kawasan industri baharu di negeri ini mengambil kira kewujudan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memfokuskan perkhidmatan kargo.

"Kalau tak bergerak pada masa sekarang dalam masa tiga tahun lagi beroperasi ECRL nanti dan tak ambil peluang sekarang untuk bina kawasan industri, saya rasa itu dah terlambat.

"Jadi saya akan kerahkan seluruh jentera supaya bergerak ke arah wujudkan kawasan industri baharu dengan mengambil manfaat kewujudan ECRL terutama kawasan sebelum ini kurang diberi fokus seperti kawasan utara Terengganu, sebagai contoh Besut dan Setiu.

"Dengan sendirinya ia akan menambah peluang-peluang pekerjaan selain boleh mendatangkan hasil baharu dari segi percukaian dan sebagainya pada pihak berkuasa tempatan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat dari Korea Selatan termasuk perjumpaan bersama dutanya mengenai peluang pelaburan dalam industri hidrogen ekonomi di Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya meneroka untuk membangunkan ekonomi berasaskan hidrogen yang kini mendapat permintaan tinggi sebagaimana yang menjadi trend pada masa kini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri meletakkan sasaran realistik antara enam hingga lapan peratus untuk mengurangkan kebergantungan pada royalti petroleum menerusi pelbagai hasil lain yang diteroka.

Artikel Berkaitan:

"Antara hasil baharu yang kita dapat ialah menerusi sumber air. Kerajaan negeri menjangkakan mampu memperoleh RM100 juta setahun sebagai tambahan hasil negeri menerusi penggubalan Enakmen Sumber Air Terengganu (ESAT) pada 2020.

"Selain itu, kita akan tengok dan buat penilaian semula terhadap kadar cukai baharu dan cukai sedia ada seperti bahan-bahan galian dan mineral yang diambil dari bumi Terengganu kerana kadarnya sudah lama melibatkan hampir 20 tahun," ujarnya.