Mayat dalam guni: Tiga beranak didakwa sebabkan kematian kerani

Lelaki bergelar Datuk dan dua anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga India.
Lelaki bergelar Datuk dan dua anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga India.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki bergelar Datuk dan dua anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga India yang ditemui dalam guni, dua minggu lalu.

Peniaga barang lusuh, V Nanta Kumar, 51, bersama dua anaknya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyebabkan kematian kerani di syarikat milik keluarga itu, A Vinayagamoorthy, 41, dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin mengakibatkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di tapak besi buruk, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan sebarang jaminan dikenakan kepada semua tertuduh memandangkan kes itu diletakkan bawah peruntukan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Suraj Singh berkata, meskipun kes ini berada bawah peruntukan yang tidak boleh dijamin, namum mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk menawarkan ikat jamin.

“Nanta Kumar menghidap penyakit kencing manis dan tulang belakang, manakala Miren Ram, asma serta Krithik Ram terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pembelaan tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan kepada mereka," katanya yang turut dibantu peguam, Kailash Sharma.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 6 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, satu mayat lelaki warga asing ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang dekat sini, dipercayai dipukul sehingga mati.

Seramai 13 individu iaitu 10 lelaki dan tiga wanita termasuk majikan mangsa, ditahan bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mayat ditemui dalam guni di tapak besi buruk

Mayat dalam guni: Mangsa dipercayai dipukul hingga mati

Masalah kewangan dipercayai punca kerani dibunuh majikan