Mayat ditemui dalam guni di tapak besi buruk

Anbalagan (kiri) memeriksa lokasi mayat yang ditemui dalam guni dipercayai dibunuh, sebelum ditinggalkan di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang pada Jumaat.
Anbalagan (kiri) memeriksa lokasi mayat yang ditemui dalam guni dipercayai dibunuh, sebelum ditinggalkan di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Satu mayat ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang individu pada jam 1.30 tengah hari memaklumkan menemui seorang lelaki terbaring dan disyaki telah meninggal dunia.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa disyaki dibunuh dan dimasukkan ke dalam karung guni plastik atau jumbo beg berwarna putih di tapak stor penyimpanan besi buruk.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat pada Sabtu bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu kata beliau, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengesan dan menangkap suspek terlibat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.