Tanah pertanian jadi tapak pelupusan, MBJB gesa ambil tindakan

Mohd Noorazam
Mohd Noorazam
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menggesa pihak berwajib mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang menjadikan tanah pertanian di Kempas Banjaran sebagai tapak pelupusan sampah.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan agar ia menjadi pengajaran kepada pihak terlibat yang didapati melakukan kesalahan sama.

Malah katanya, perkara itu didapati semakin menjadi-jadi hingga turut dilaporkan berlaku di Gelang Patah.

"Kewujudan tapak pelupusan sampah ini memberikan impak yang sangat negatif kepada alam sekitar termasuk penduduk sekeliling.

"Oleh itu, kita di peringkat MBJB melihat pihak seperti Pejabat Tanah boleh ambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara kerana menyalahgunakan tapak pertanian sebagai tapak pelupusan sampah.

"Selain itu, ia boleh membawa kepada rampasan tanah oleh kerajaan negeri dan kalau nak elak daripada itu berlaku, saya minta supaya pemilik tanah ini tidak lagi membuat perkara tersebut.

"Pihak SWCorp juga boleh mengambil tindakan mendakwa pemilik tanah di mahkamah kerana menjadikan kawasan mereka tempat pengumpulan barang kitar semula serta tempat pembuangan sampah haram. Kita (MBJB) juga boleh ambil tindakan di bawah Undang-undang Kecil Kesihatan tapi kompaun yang dikenakan tidaklah begitu besar, " katanya.

Mohd Noorazam berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB pada Rabu.

Untuk rekod, Ahad lalu, MBJB telah mengarahkan dua premis kitar semula ditutup operasi kerana melaksanakan aktiviti pembinaan tanpa permit selain mengundang aduan daripada penduduk sekitar.

Tindakan itu diambil bawah Undang-undang Kecil 49(2) Perlesenan tred, perniagaan dan perindustrian MBJB 2016 selain mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 133 kerana mendirikan binaan tanpa kelulusan.

Sementara itu, pemilik kawasan tersebut mengaut keuntungan dengan mengenakan caj sebanyak RM60 kepada setiap lori kontraktor setiap kali membuang sisa buangan dari kilang ke kawasan tersebut.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu telah menjadikan kawasan tersebut sebagai 'tempat sampah', sekali gus menutup kawasan tasik semula jadi yang ada di kawasan berkenaan.

"Kita bimbang kerana terdapat juga sisa-sisa terjadual yang membawa impak sangat negatif kepada alam sekitar dan ia sepatutnya dilupuskan di kawasan yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kita turut berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan seperti ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan undang-undang," katanya.