Perhilitan halau semula gajah pijak wanita Orang Asli ke hutan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Gajah liar yang dipercayai menyebabkan kematian wanita Orang Asli di Kampung Bal, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik pada Ahad lepas berjaya dihalau semula ke hutan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, Unit Tindakan Gajah Negeri Perak membuat kawalan di lokasi kejadian dan menghalau semula gajah tersebut masuk ke hutan berhampiran.

"Kita berusaha menghalau gajah disyaki jantan yang datang dari Hutan Simpan Temenggor itu dari petang hingga malam tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan supaya membersihkan atau memusnahkan makanan gajah terutamanya rumput napier atau dikenali sebagai rumput gajah bagi mengelakkan ia kembali ke kawasan tersebut.

"Sekarang musim durian di sana jadi mereka juga dinasihatkan tidak pergi ke kebun bersendirian dan ketika suasana gelap seperti awal pagi atau lewat petang," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai wanita Orang Asli yang dipercayai dipijak seekor gajah di kawasan kebun durian berhampiran rumahnya pada jam 5.30 petang Ahad lepas.

Zulfkifli dilaporkan berkata, warga emas berusia 63 tahun itu yang pergi ke kebun untuk mengutip durian antara 4 hingga 5 petang terserempak lalu dipijak gajah kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan RPS Kemar dan disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Gerik pagi semalam mendapati kematian akibat hentakan benda tumpul di dada dan mayatnya telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita Orang Asli maut dipijak gajah