Galas, Kota Lama 'jambatan' rakyat Kelantan dengan Persekutuan

Mohd Syahbuddin (empat dari kanan) yang meraikan kemenangan di DUN Galas pada pengumuman keputusan PRN. - Foto FB Mohd Syahbuddin
Mohd Syahbuddin (empat dari kanan) yang meraikan kemenangan di DUN Galas pada pengumuman keputusan PRN. - Foto FB Mohd Syahbuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan Galas pada pilihan raya negeri (PRN) diharap menjadi jambatan lebih utuh antara kerajaan Persekutuan dengan rakyat Kelantan.

Calon yang menang kerusi N45 Galas, Mohd Syahbuddin Hashim (BN) berkata, perhubungan itu akan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat merangkumi dua kedudukan lokaliti iaitu satu bandar (Kota Lama) dan satu luar bandar (Galas).

Menurutnya, tidak timbul isu walaupun menjadi wakil tunggal BN bagi DUN di negeri itu kerana segala perjuangan yang akan dibawa ialah suara daripada rakyat.

“Suara kuat, tidak semestinya didengari. Perkara pokok yang penting ialah suara yang berkesan dan saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Matlamat kami ialah membuktikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) tidak pernah menganaktirikan rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Mohd Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, susulan kemenangan itu juga beliau akan terus menggalas tugas membawa masalah dan kepentingan rakyat yang diwakili ke pengetahuan untuk tindakan kerajaan negeri.

Menurut beliau, PH-BN akan berfungsi bagi semak dan imbang melalui kaedah yang dijamin dapat menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat di kedua-dua DUN itu seterusnya di seluruh negeri Kelantan.

“PH-BN di Galas dan Kota Lama akan bertindak untuk semak dan imbang kepada kerajaan negeri ini melalui kaedah terutamanya memastikan segala janji atau manifesto Pas terlaksana.

Artikel Berkaitan:

“Memastikan segala program dan projek yang dijanjikan oleh kerajaan itu dibuat selain mengutamakan rakyat yang berhak dalam semua perkara terutamanya skim-skim kerajaan negeri,” ujarnya.

Kata Mohd Syahbuddin, sebanyak 98 perkara dibawakan dalam sidang DUN 2018-2023 yang lepas merangkumi kesihatan dan pendidikan kepada rakyat setempat.

“Insya-ALLAH saya akan terus berfungsi sebaiknya dalam sidang-sidang DUN akan datang nanti,” kata beliau.

Pada PRN itu, Mohd Syahbuddin mendapat majoriti 3,337 undi dengan 10,742 undi mengalahkan Mohd Tarmizi Abdul Rahman (Pas) dengan 7,405 undi.

Pas pada PRN itu, Pas berjaya menakluki 43 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan manakala dua kerusi ialah milik BN yang kekal di Galas sementara Kota Lama dirampas PH dari Pas.

ARTIKEL BERKAITAN:Pas gagal rampas DUN Galas, Kota Lama satu kejutan - Ahmad

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

PRN: Menteri Besar Kelantan minta maaf

PRN: Rakyat Kelantan belum serasi gabungan BN-PH