Pahang ambil tindakan tegas atasi isu ceroboh tanah haram

Dr.Sallehuddin menyerahkan replika kunci jentera berat kepada wakil PTG negeri Pahang.
Dr.Sallehuddin menyerahkan replika kunci jentera berat kepada wakil PTG negeri Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bertindak lebih tegas dan agresif dalam menangani isu pencerobohan tanah rizab secara haram dan mengatasi pencemaran sumber air di seluruh negeri.

Tindakan drastik diambil termasuk membelanjakan RM1.8 juta untuk pembelian jentera berat bagi tujuan penguatkuasaan, sekali gus mengatasi masalah yang membelenggu sejak sekian lama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, dengan pembelian jentera berat berkenaan diyakini dapat memelihara sumber air daripada terus tercemar seterusnya membanteras penerokaan tanah kerajaan secara haram.

Menurutnya, sebelum ini penguatkuasaan sukar dilakukan kerana Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak mempunyai kemudahan jentera berat.

"Negeri Pahang sangat luas dan memerlukan jentera dan pasukan penguatkuasaan yang utuh, tetapi hanya sesetengah jabatan mempunyai kemudahan jentera berat contohnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa lagi.

"Oleh itu, PTG akan meningkatkan penguatkuasaan dengan kemudahan dua excavator, dua backhoe dan sebuah selfloader.

"Kita sedaya upaya menambah kekuatan pasukan penguatkuasaan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini.

Artikel Berkaitan:

Dr.Sallehuddin mencuba mengendalikan jentera berat yang akan dimanfaatkan untuk kerja penguatkuasaan.
Dr.Sallehuddin mencuba mengendalikan jentera berat yang akan dimanfaatkan untuk kerja penguatkuasaan.

Beliau berkata, tindakan tegas turut dikenakan kepada penceroboh dan pesalah apabila sebanyak RM141,250 dikenakan sepanjang 2018.

"Seramai 34 ditangkap untuk kesalahan di bawah Seksyen 426, 425 Kanun Tanah Negara dan enakmen Mineral 2001.

"Sebanyak 46 kenderaan dirampas dan pesalah dikompaun serta didenda," katanya.

Jelasnya, penyusunan semula Lesen Penduduk Sementara (LPS) akan dilaksanakan dan mengikuti standard.

"Sistem yang ada sebelum ini terlalu bebas menyebabkan pekebun boleh buat apa sahaja sehingga menjejaskan kepentingan ramai.

"kita akan tegas dan jika berlaku pelanggaran syarat, bila-bila masalah sahaja LPS akan dibatalkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut fokus kepada pencerobohan di kawasan perlombongan bagi mengelakkan sumber air terjejas contohnya di Cameron Higlands dan Tasik Chini.

"Sebelum ini kita keluarkan arahan pemusnahan ke atas tanah-tanah pencerobohan haram tetapi sukar kerana tidak berupaya bertindak disebabkan ketiadaan jentera dan kurang penguatkuasaan.

"Kita juga akan memantau pencerobohan tanah untuk penanaman durian besar-besaran membabitkan ratusan ekar demi menjaga kepentingan rakyat," katanya.