Kenangan indah mengundi pada hari perkahwinan

Nur Ain Huda tiba di SK Wakaf Stan ditemani Mohammad Hidayat untuk mengundi.
Nur Ain Huda tiba di SK Wakaf Stan ditemani Mohammad Hidayat untuk mengundi.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasangan pengantin, Nur Ain Huda Ibrahim dan Mohammad Hidayat Yuliza menyifatkan hari perkahwinannya sebagai satu kenangan paling indah kerana sama tarikh dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan pada Sabtu.

Mereka yang masing-masing berusia 25 tahun hadir ke pusat mengundi dengan memakai songket biru firus.

Nur Ain Huda yang ditemui pemberita di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan berkata, meskipun majlis perkahwinan mereka bertembung dengan PRN, ia tidak dapat dielakkan berikutan perbincangan keluarga berkaitan majlis itu telah dibuat pada Syawal lalu.

"Ketika itu kami tidak tahu tarikh pengundian dan mula menempah semua keperluan untuk majlis," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak menjadi masalah dan tetap menjalankan tanggungjawab selepas majlis persandingan mereka pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, Mohammad Hidayat juga akan bergegas ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah, Kuala Krai selepas majlis persandingan selesai.

"Sebelum ini kami ada terfikir untuk tidak datang mengundi kerana kesibukan dan perlu meninggalkan tetamu tetapi tanggungjawab itu lebih penting," katanya.

Nur Ain Huda yang bekerja sebagai promoter di sebuah syarikat telekomunikasi bersama suami hadir ke pusat mengundi itu kira-kira jam 3.40 petang.

Nur Ain Huda mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit melalui saluran dua.

Artikel Berkaitan: