Anwar: The Untold Story, satu karya paling mahal bagi saya

Farid Kamil menyifatkan filem biopik itu sebagai sebuah karya paling ‘mahal’ sepanjang 22 tahun terlibat dalam dunia seni. - Foto Instagram Farid Kamil
Farid Kamil menyifatkan filem biopik itu sebagai sebuah karya paling ‘mahal’ sepanjang 22 tahun terlibat dalam dunia seni. - Foto Instagram Farid Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon utama Anwar: The Untold Story, Farid Kamil menyifatkan filem biopik itu sebagai sebuah karya paling ‘mahal’ sepanjang 22 tahun terlibat dalam dunia seni.

Ujar Farid, ia kerana naskhah yang mengangkat perjuangan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menentang korupsi sekitar tahun 1993 ke 1998 itu merupakan satu-satunya kisah realiti yang dilakonkannya.

“Terdapat 67 filem pernah saya lakonkan sebelum ini dan semuanya adalah fiksyen. Tetapi filem ini merupakan kisah nyata tentang seorang tokoh di negara kita.

“Ini merupakan satu hasil karya yang mendatangkan kenangan cukup manis bagi saya kerana Anwar sendiri dapat menontonnya ketika beliau kini menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis di sini.

Bercerita lanjut tentang karya tersebut, suami kepada aktres Diana Danielle itu mengakui, terdapat ramai pelakon yang menolak tawaran untuk berlakon dalam filem tersebut pada awalnya.

Jelas Farid, ramai orang di sekelilingnya turut menasihatkannya untuk tidak melibatkan diri dalam karya berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan karier memandangkan penggambaran tersebut dibuat beberapa tahun sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Perkara itu memang sudah diketahui, tapi saya tetap cabar diri saya untuk membawa watak ini kerana Anwar dan saya berkongsi satu kriteria iaitu menentang rasuah.

Farid (kiri) dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob semasa mengunjungi Kompleks Karangkraf pada Khamis.
Farid (kiri) dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob semasa mengunjungi Kompleks Karangkraf pada Khamis.

“Oleh kerana kita masih mempunyai seorang pemimpin yang tegarnya menentang jenayah tersebut, maka saya kira amat perlu untuk mengadaptasikan kisah realitinya dalam bentuk filem,” katanya.

Dia juga berharap, menerusi tayangan hasil seni tersebut dapat menjadi titik mula terhadap pembaharuan dunia penerbitan di Malaysia.

“Kita harap selepas ini banyak kisah-kisah berkaitan isu realiti di negara ini dapat dipaparkan dengan lebih banyak,” tambahnya.