Sabah tiada pilihan kecuali menang demi penyokong

Kim Swee Foto: Sabah FC
Kim Swee Foto: Sabah FC
A
A
A

SABAH FC perlu melupakan memori kekalahan dibelasah 1-5 penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Rabu lalu.

Sebaliknya pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menuntut para pemain kembali menjadikan Stadium Likas gelanggang kebangkitan dalam mengharungi baki saingan Liga Super apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC pada Ahad.

Jelas Kim Swee, kelab Kepulauan Borneo itu tiada pilihan lain selain menang berdepan The City Boys dalam memastikan pasukan tangga kelima liga terus mendaki saingan kelompok terbaik.

"Ya, para pemain Sabah perlu segera melupakan badi kekalahan dengan jumlah jaringan yang besar kepada JDT tempoh hari.

"Keputusan positif berdepan Kalau Lumpur City penting bagi memastikan Sabah kembali ke landasan sebenar dalam perebutan kelompok terbaik selepas keciciran mata baru-baru ini.

"Sabah memerlukan keputusan positif serta tidak boleh mengalami kekalahan demi kekalahan sehingga menyukarkan pemburuan kedudukan terbaik liga.

"Para pemain juga harus segera memperbaiki keputusan dalam perlawanan-perlawanan terakhir liga bagi mengembalikan keyakinan para penyokong tegar Sabah," katanya yang memaklumkan beberapa pemain seperti Saddil Ramdani dan Miguel Cifuentes masih dalam senarai kecederaan.

Anak buah Kim Swee akan melayan kunjungan angkatan Nenad Bacina yang menggantikan pengendali terdahulu Bojan Hodak yang menyahut cabaran bersama kelab liga Indonesia, Persib Bandung.

Artikel Berkaitan:

Bacina pula dijangka menampilkan aksi lebih garang selepas tewas 1-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan Derbi Lembah Klang pada 8 Ogos lalu.

Sebagai rekod, Sabah tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 5 April lalu.

Gol jaringan T Saravanan pada minit ke-15 separuh masa pertama diikuti jaringan Sean Gan Giannelli (m-95) sudah cukup menyaksikan Sabah tenggelam di Cheras.

LIGA SUPER 2023

AHAD (13 OGOS)

Sabah FC lwn Kuala Lumpur City

(Stdm Likas, 7.30 malam)

JDT lwn Perak FC

(Stdm Sultan Ibrahim, 9 malam)

ISNIN (14 OGOS)

Negeri Sembilan FC lwn Selangor FC

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 malam)

Kelantan FC lwn Terengganu FC

(Stdm Sultan Muhammad IV, 9 malam

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan MFL