Pemain Malaysia gegar pentas catur dunia

KEJAYAAN pemain Malaysia meraih tempat pertama dalam kategori bawah 2,000 terbuka pada Kejohanan Catur Amatur Dunia FIDE 2026 (WACC2026) membuktikan kemampuan pemain catur tempatan untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Presiden Persatuan Catur Negeri Selangor (PCNS), Kumaressan Thiagarajoo berkata, prestasi pemain Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sepanjang kejohanan sekali gus membuktikan kemampuan mereka memberikan saingan kepada peserta dari pelbagai negara.

“Prestasi pemain Malaysia memang melonjak sangat tinggi. Dalam kategori bawah 2,000, pemenang pingat emas ialah pemain kita, Akhramsyah Muammar Ubaidah Aqil Ainuddin Naufal.
“Kita sudah menunjukkan di pentas dunia bahawa Malaysia memang boleh. Kita sudah mengalahkan banyak pemain dan dalam masa yang singkat boleh menganjurkan kejohanan besar seperti ini serta mempunyai pemain yang kuat untuk bersaing di pentas dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah WACC2026 di KSL Esplanade Hotel di sini pada Khamis.
Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
WACC2026 yang berlangsung dari 4 hingga 13 November dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (MCF) di bawah naungan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).
Kejohanan itu mempertandingkan kategori bawah 1,700 terbuka dan wanita, bawah 2,000 terbuka dan wanita serta bawah 2,300 terbuka dan wanita.
Kumaressan berkata, kejohanan yang disertai pemain dari 56 negara itu turut memberi pendedahan penting kepada 156 pemain tempatan yang mengambil bahagian.
Katanya, peluang beraksi menentang pemain antarabangsa membolehkan pemain Malaysia mengukur kemampuan selain memperoleh pengalaman untuk meningkatkan tahap permainan.
“Ini akan menjadi satu platform ataupun membuka laluan kepada pemain tempatan untuk beraksi dengan pemain luar negara yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berharap penganjuran kejohanan bertaraf dunia seperti WACC2026 itu dapat diteruskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan mendapatkan pendedahan antarabangsa dan membina barisan pemain yang lebih kompetitif di pentas dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
