Kumulatif kes denggi Perak meningkat lebih 200 peratus

Sivanesan melekatkan plak simbolik merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak di Kompleks Rakan Muda, Kampar pada Sabtu.
Sivanesan melekatkan plak simbolik merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak di Kompleks Rakan Muda, Kampar pada Sabtu.
A
A
A

KAMPAR - Kes kumulatif denggi di Perak mencatatkan peningkatan sebanyak 218.1 peratus dengan jumlah 2,005 kes bagi tempoh Januari sehingga 5 Ogos lalu berbanding 646 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, peningkatan sebanyak 1,409 kes itu turut melibatkan kematian seorang wanita yang dilaporkan di Kuala Kangsar pada Jun lalu.

"Salah satu faktor peningkatan kes denggi adalah berlakunya pergerakan keluar masuk masyarakat ke negeri-negeri setiap kali musim perayaan atau kes import.

Sivanesan (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta yang menyertai sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak di Kompleks Rakan Muda, Kampar pada Sabtu.
Sivanesan (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta yang menyertai sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak di Kompleks Rakan Muda, Kampar pada Sabtu.

"Saya percaya kes ini akan turut meningkat sepanjang pilihan raya negeri (PRN) yang dijalankan di enam negeri kerana ramai yang pergi ke Pulau Pinang, Selangor dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Denggi Asean Peringkat Negeri Perak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Kampar 2023 di Kompleks Rakan Muda di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad.

Menurut Sivanesan, semua pihak disarankan supaya sentiasa memeriksa dan memastikan kawasan di persekitaran kediaman bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

Tambah beliau, tindakan kompaun akan dikeluarkan terhadap mana-mana pihak yang tidak menjaga kebersihan premis mereka dalam usaha mencapai sifar kematian denggi.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai kesihatan daerah mempunyai lesen untuk memeriksa kediaman tidak kira rumah yang berhormat (YB) atau sekolah. Kompaun akan diberikan sekiranya terkesan tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Masyarakat juga digalakkan untuk menjalankan dan menyertai aktiviti gotong-royong yang dilaksanakan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) atau pihak berkuasa tempatan serta kesihatan bagi membantu menghapuskan denggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!