PRN: Pesakit saraf teruja buang undi, kali ketujuh jadi orang pertama

Sarifah (kiri) yang dipapah Ummu Amirah (kanan) keluar dari pusat mengundi di SK Seri Ketereh di Kota Bharu.
Sarifah (kiri) yang dipapah Ummu Amirah (kanan) keluar dari pusat mengundi di SK Seri Ketereh di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pesakit saraf di sini menjadi pengundi pertama yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh sempena pilihan raya negeri (PRN) di sini pada Sabtu.

Sarifah Hassan, 56, yang beratur seawal jam 7.30 pagi dan selesai membuang undi pada jam 8.05 pagi, bukan kali pertama menjadi pengundi awal malah sudah tujuh kali.

Sarifah yang merupakan seorang peniaga hadir dengan dipapah anak perempuannya, Ummu Amirah Azahan, 25.

Sarifah berakata, sudah menjadi tradisinya mahu menjadi pengundi pertama setiap kali pilihan raya diadakan dan akan turun dari rumah ke pusat mengundi seawal jam 7 pagi.

“Saya mengalami sakit saraf daripada paras pinggang hingga kedua-dua belah kaki sejak tiga tahun lalu, namun masih lagi bersemangat untuk kekal menjadi orang pertama membuang undi.

“Hari ini saya dibantu anak perempuan menunggang motosikal dari rumah menuju ke pusat mengundi dalam jarak kurang satu kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi itu di sini pada Sabtu.

Turut melaksanakan tanggungjawab mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas tersebut, calonnya, Ahmad Deraman dari Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Sementara itu, 11 sekeluarga terdiri daripada tiga generasi iaitu nenek, anak dan cucu membuang undi serentak di pusat membuang undi berkenaan pada jam 8.20 pagi.

Artikel Berkaitan:

Aminah (tengah) berkerusi roda bersama ahli keluarganya yang membuang undi di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.
Aminah (tengah) berkerusi roda bersama ahli keluarganya yang membuang undi di Ketereh, Kota Bharu pada Sabtu.

Aminah Zakaria, 74, berkata, dia tidak pernah ketinggalan untuk menunaikan tanggungjawab memilih setiap kali pilihan raya walaupun kini terpaksa berkerusi roda kerana tidak dapat berjalan akibat sakit tua.

“Saya juga akan jadi orang terawal dan tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi, lagi pun petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) banyak membantu melancarkan proses membuang undi,” katanya.

Dalam pada itu, cucunya, Nur Aina Syuhada Abdul Aziz, 27, berkata, mereka tiba pada jam 8 malam, Jumaat dari Pulau Pinang untuk melaksanakan tugas mengundi pada PRN tersebut.

Menurut pekerja kewangan itu, meletakkan harapan yang besar untuk melihat perubahan kepada Kelantan terutama melibatkan isu pembangunan dan keperluan asas.

“Kami anak-anak perantau pulang demi masa depan negeri dan mahukan perubahan berlaku di Kelantan.

“Kami tinggal di negeri lain dan menyumbang kepada ekonomi negeri lain, namun tetap mahukan pembangunan yang terbaik berlaku di tanah kelahiran sendiri,” katanya.