Ahmad mahu undur diri sebagai MB kerana uzur - Abdul Hadi

Abdul Hadi ditemui media selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang pada Sabtu.
Abdul Hadi ditemui media selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang pada Sabtu.
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan keputusan Pas melakukan perubahan jawatan menteri besar di Kelantan disebabkan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob kini uzur.

Menurutnya, susulan itu Ahmad meminta mengundurkan diri daripada memegang jawatan tersebut atas faktor kesihatan sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN), 12 ogos.

Katanya, selain itu keputusan mengubah jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan kerana mahu berlaku perubahan di Kelantan.

"Menteri Besar undurkan diri kerana uzur. Dulu pun dia (Ahmad) minta merayu supaya lantik (ganti lain), kita minta lagi (teruskan). Masa tengah-tengah bertugas tu pun dia desak minta (ganti) dan memang dia keuzuran.

"Berapa kali dia masuk hospital terima rawatan. Kali ini kita pertimbangkanlah, kesian pada beliau (Ahmad).

"Kita mahu semangat baharu di Kelantan. Ada perubahan di Kelantan sebab itulah timbalan juga diubah," katanya kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Rusila di sini pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah bakal digantikan dengan kepimpinan baharu sekiranya Pas berjaya mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada PRN.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahmad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan pada PRN kali ini memaklumkan pencalonannya itu memasuki penggal ketujuh dan merupakan yang terakhir.

Ahmad turut memaklumkan akan memberi laluan kepada calon muda selepas ini.

Selain itu, Mohd Amar turut mempertahankan kerusi DUN Panchor.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menafikan pertukaran kepimpinan tersebut disebabkan desakan atau isu-isu berlaku baru-baru ini di Kelantan.

"Tak adalah. Memang sudah lama sangat memerintah. 30 tahun tu letihlah orang yang bertugas tu, " ujarnya.

Bagaimanapun, Hadi memaklumkan dua calon baharu yang menjadi Menteri Besar dan Timbalannya nanti akan diterima oleh semua pihak termasuk rakyat Kelantan.

"Lepas keputusan rakyat (kerajaan dibentuk), kita sudah ada calon yang kita kemukakan pada Tuanku (Sultan Kelantan). Perbincangan dengan Tuanku akan berlaku.

"Insya-ALLAH... diterima rakyat dan diterima Tuanku," ujarnya.



ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Pas tukar MB, Timbalan MB Kelantan jika menang

Ahmad mahu undur diri sebagai MB kerana uzur - Abdul Hadi

Mohd Amar enggan ulas isu tukar MB, Timbalan MB Kelantan

Mohd Amar sahkan MB Kelantan tolak kekalkan jawatan