'Jika rasis, PN tidak letak calon bukan Melayu’ - Nallan

Nallan
Nallan
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) bukanlah sebuah parti yang berlandaskan Islam dan mengutamakan kaum Melayu semata-mata, sebaliknya memperjuangkan kesemua nasib rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan berkata, persepsi yang dilontarkan oleh pemimpin parti lain yang menyatakan bahawa PN adalah rasis sama sekali tidak benar.

“PN tidak pernah menafikan hak semua kaum yang ada di Malaysia dan jika dilihat parti ini sebenarnya membawa semua suara rakyat daripada kaum Melayu, India dan Cina.

“Jika ada pihak yang mengatakan PN itu sebuah parti yang rasis, tidak mungkin mereka meletakkan calon bukan Melayu sebagai individu bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Last Call’ Tawan Bukit Gasing yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nallan memberitahu rata-rata pengundi di DUN Bukit Gasing menunjukkan reaksi positif terhadap PN walaupun majoriti demografi merupakan kaum Cina masyarakat Tiong Hua.

Beliau berkata lagi, sekiranya PN diberi mandat untuk memimpin kerajaan negeri Selangor untuk lima tahun akan datang, ia akan ditadbir dengan begitu baik kerana mempunyai ‘tulang belakang’ yang kuat.

“Pentadbiran ini akan dibantu oleh Presiden PN, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Pas dan mantan-mantan menteri pusat seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Tan Sri Annuar Musa.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya rakyat memberikan mandat kepada PN, saya akan turut bersama-sama membawa perubahan ke arah satu era yang lebih baik. Kita juga mahu membina Selangor yang boleh dibandingkan dengan Hong Kong atau Singapura,” ujarnya.

Pada masa sama, Nallan menjelaskan beliau menggunakan kepakaran dan ilmu yang ada sewaktu tempoh berkempen.

Ujar beliau, ramai penduduk tempatan menzahirkan rasa tidak senang terhadap isu yang tidak dapat diselesaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing terdahulu berkenaan masalah ‘leasehold’.

Katanya, jika diberi peluang menjadi ADUN, isu berkenaan akan dibangkitkan untuk membantu pengundi Bukit Gasing.

“Kalau kita boleh tukar status kepada freehold, ia boleh memberi manfaat kepada mereka mungkin nilai hartanah akan meningkat sekali gus dapat membantu mereka menghadapi hari persaraan kelak,” katanya.