PRN: Polis kawal keselamatan ibu pejabat SPR, parti politik

Mohd Shuhaily (kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO:ROSLI TALIB
Mohd Shuhaily (kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat. - FOTO:ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak bagi mengawal keselamatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya dan beberapa lokasi di ibu kota menempatkan ibu pejabat parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, biarpun Kuala Lumpur tidak terlibat dalam PRN ini namun ia akan menjadi tumpuan penyokong parti politik yang bertanding.

"Kuala Lumpur dijangka menjadi tumpuan parti-parti politik untuk mengadakan perjumpaan selain penyokong parti negeri bersempadanan untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan.

"Keputusan PRN ini akan dibuat Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, oleh itu kawalan keselamatan akan digerakkan bagi mengelakkan sebarang kekacauan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan melaksanakan risikan keselamatan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang ancaman.

"Pengawasan akan dibuat sepanjang tempoh PRN berlangsung dan pengumuman keputusan undian bagi mengelakkan sebarang himpunan atau perarakan dilakukan pihak tertentu.

"Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dijalankan di kawasan yang dikenal pasti bagi menghentikan apa-apa perancangan perarakan atau berkaitan ancaman keselamatan di Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 'Team Cantas' IPK Kuala Lumpur diletakkan dalam keadaan siap siaga dan terus digerakkan sekiranya terdapat keperluan bagi mematahkan sebarang perancangan menimbulkan kekacauan.

"Semua parti yang bertanding dinasihatkan agar sentiasa memastikan keharmonian dan tidak meraikan kemenangan di tempat awam sebaliknya aktiviti tersebut dijalankan di premis tertutup atau premis parti.

"Tiada kompromi terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang yang dikesan serta tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengingkarinya," tegasnya.