PRN: Kedudukan Pas di Kelantan tergugat?

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Angin perubahan dilihat semakin melanda negeri ini apabila Pas didakwa bakal kehilangan beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Andaian itu ada asasnya apabila beberapa kerusi milik parti itu yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dengan majoriti bawah 1,000 dilihat sudah tidak selamat untuk Pas.

Kerusi tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra (348), Wakaf Bharu (387), Dabong (589), Semerak (632), Melor (647) dan Kemahang (923).

Lebih menggerunkan buat Pas, apabila 'mood' PRN kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara parti itu dengan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) yang sudah membentuk kerjasama di peringkat pusat menerusi Kerajaan Perpaduan.

Kerjasama BN-PH turut meletakkan beberapa kawasan kelabu buat kedua-dua parti itu kini kembali cerah untuk dirampas pada PRN nanti.

Antara kerusi yang dilihat berpotensi untuk dirampas oleh gabungan itu ialah Kota Lama, Semerak, Selising, Gual Periok, Tendong, Jelawat dan beberapa lagi kawasan lain.

Menambahkan lagi tekanan buat Pas apabila 34 tawaran dikemukakan oleh BN-PH yang ditunjangi empat teras utama, iaitu Syiar Islam, Ekonomi, Pendidikan, Wanita dan Orang Muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara yang bertemakan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat.

Menghapuskan tunggakan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), menurunkan kadar cukai tanah, kemudahan parkir percuma, membina Kolej Universiti al-Quran Tahfiz Sains dan banyak lagi antara sebahagian daripada 34 tawaran BN-PH jika mentadbir Kelantan selepas 12 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Gelombang perubahan makin dirasai apabila puluhan ribu rakyat negeri ini 'membanjiri' program Jelajah Perpaduan Madani setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berceramah.

Dedas-desus Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah yang dikatakan akan 'naik pangkat' sebagai pemimpin nombor satu Kelantan menyemarakkan lagi gelombang kebangkitan rakyat.

Perasaan takut Pas itu dizahirkan apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat pengumuman mengejut dengan merombak jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika ini.

Rombakan itu dengan mengemukakan gabungan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan teknokrat yang tertakluk kepada mandat rakyat serta mendapat perkenan Sultan Kelantan.

Isu berakhirnya legasi Tok Guru, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas nama Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh tercicir sebagai calon PRN dilihat turut menggugat kedudukan Pas ketika ini.

Pengguguran 16 wakil rakyat yang telah cemerlang menabur bakti sehingga menimbulkan bantahan di peringkat akar umbi turut memberi 'tamparan' buat Pas pada PRN kali ini.

Dalam pada itu, lapan kerusi yang dimenangi BN pada PRU-14 lalu berada dalam kedudukan terbaik untuk kekal kecuali Kok Lanas susulan pengisytiharan keluar beramai-ramai pemimpin tertinggi UMNO di Bahagian Ketereh sebelum ini.

Bagaimanapun BN masih lagi berpeluang mengekalkan kerusi ini apabila menampilkan anak tempatan sebagai calon, sementara Pas menerusi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membawa masuk tenaga 'import'.