PH Pulau Pinang muktamad agihan kerusi PRN hari ini

Kon Yeow (duduk, kiri) membuka lemang yang dibakar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun di Taman Tangling, pada Sabtu.
Kon Yeow (duduk, kiri) membuka lemang yang dibakar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun di Taman Tangling, pada Sabtu.
A
A
A

BATU KAWAN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bermesyuarat hari ini bagi memuktamadkan kerusi yang akan dipertandingkan gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat yang diadakan itu juga akan membincangkan sama ada terdapat kerusi yang masih boleh dirunding untuk diberikan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum ia dimuktamadkan.

"Kita akan adakan mesyuarat petang ini dan saya harap dapat memuktamadkan keputusan bagi PH sebelum ianya dibawa untuk rundingan dengan BN dan UMNO.

"Muktamad dari segi apa kita mahu tanding dan apa yang masih boleh rundinglah dengan mereka (BN)," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun di Taman Tangling, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang mahu rundingan agihan kerusi antara PH dan BN bagi PRN Pulau Pinang mesti melibatkan semua parti komponen BN, Kon Yeow berkata perkara itu perlu diuruskan oleh BN.

Jelasnya, beliau dimaklumkan pada mesyuarat antara PH dan UMNO yang dijangka akan diadakan minggu depan turut melibatkan beberapa pimpinan BN yang lain.

"Dari senarai yang dikemukakan rombongan UMNO itu ada pemimpin BN jugalah.

"Hal ini perlu diuruskan dalam BN," katanya ringkas.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PH Pulau Pinang akan bermesyuarat dengan UMNO negeri berhubung pengagihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada minggu hadapan.

Kon Yeow berkata, PH negeri juga akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut beberapa hari lagi yang dijangka dalam minggu ini.