Pilih pemimpin utamakan rakyat

Kempen terakhir sebelum hari mengundi memainkan peranan penting untuk rakyat menoktahkan pilihan parti mereka. - Gambar hiasan
Kempen terakhir sebelum hari mengundi memainkan peranan penting untuk rakyat menoktahkan pilihan parti mereka. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam ditekankan memilih pemimpin lebih mengutamakan maslahat atau kebaikan rakyat daripada kepentingan peribadi dan keluarga bagi menghindari kemudaratan yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian negara.

Menurut Khatib Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk 'Ciri Utama Pemimpin Yang Ku Cari', pemimpin perlu mempunyai sifat seperti rasul untuk memimpin iaitu amanah, adil, tulus, telus, bijaksana dan berintegriti tinggi di sisi ALLAH SWT bagi menjadi seseorang itu dihormati serta disegani rakyat.

"Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia jagat melalui sifat dan keperibadian yang tinggi dan mulia seperti siddiq (berkata benar), amanah (tidak khianat), tabligh (menyampaikan tidak menyembunyikan) dan fatanah (bijaksana).

"Menurut sirah, sebelum Baginda diangkat menjadi rasul, pemimpin Quraisy pernah memberi gelaran 'al-Amin' kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

"Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin yang jelas lebih mengutamakan Ahlu Suffah (orang yang tidak memiliki apa-apa) dan maslahat orang lain daripada ahli keluarga sendiri, bukannya kroni atau golongan yang ada di sekelilingnya," katanya.

Dalam teks khutbah itu menyatakan bahawa, ketidakadilan dalam memimpin, sering menipu dan mempengaruhi orang lain termasuk hilang malu kepada ALLAH SWT adalah pemimpin yang tergolong dalam kelompok melakukan kefasikan dan kezaliman.

Jelasnya, ALLAH SWT melarang pemimpin untuk bertindak sedemikian kerana akan menyebabkan kehidupan rakyat menjadi sengsara.

Dalam pada itu, teks tersebut turut berkata, pemimpin berjaya adalah individu yang mempunyai sifat amanah dan adil kepada rakyat sekali gus dapat melahirkan budaya kerja yang baik dari segi tadbir urus dan secara tidak langsung menghindari amalan penyelewengan dan korupsi.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu kita menyeru kepada bakal pemimpin wajib memiliki prinsip teras ini, seandainya ia tercalar dengan akhlak yang buruk, secara tidak langsung menghakis keyakinan rakyat dan menjadi sumber fitnah kepada umat sejagat," ujarnya.