'BN sukar rampas semula DUN Penaga, tetapi tak mustahil'

Saarani (kiri) bersama Mohd Naim menyantuni pengundi DUN Penaga ketika kempen di Pasar Awam Penaga pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Naim dan Mohd Yusni)
Saarani (kiri) bersama Mohd Naim menyantuni pengundi DUN Penaga ketika kempen di Pasar Awam Penaga pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Naim dan Mohd Yusni)
A
A
A

KEPALA BATAS - UMNO akui sukar untuk mengembalikan semula kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, namun tidak mustahil untuk dilakukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejarah membuktikan kerusi Penaga pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) menerusi kemenangan calon-calonnya sejak pilihan raya pertama diadakan lagi.

Tambahan pula katanya, sokongan rakyat tidak boleh diukur hanya berdasarkan kemenangan dalam pilihan raya sebelum ini, sebaliknya memerlukan kerja keras untuk meyakinkan pengundi.

"Kita tahu pengundi-pengundi ini sifatnya dinamik dan fleksibel, sebab itu kita pun tidak jemu-jemu jumpa pengundi bukan setakat ceramah mega, tetapi turun padang dengan harapan dapat jumpa seramai mungkin pengundi.

"Saya lihat sepanjang kempen diadakan, sambutan kepada calon kita sangat baik, jadi tidak mustahil (rampas semula kerusi) kerana sebelum ini pun kerusi ini pernah dimenangi calon BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui membantu kempen calon BN DUN Penaga, Mohd Naim Salleh di Pasar Awam Penaga dekat sini pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, calon BN di DUN Penaga tewas buat pertama kali kepada Pas dengan majoriti 1,132 undi.

DUN Penaga yang memiliki komposisi pengundi Melayu tertinggi iaitu 93 peratus menjadi antara 20 kerusi tumpuan dalam PRN kali ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH)-BN dan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, gabungan PH dan BN kali ini diharap dapat memberi impak positif untuk meletakkan wakil rakyat kawasan itu dalam komposisi kerajaan.

"Harap kali ini pengundi buka hati dan beri peluang untuk kita mewakili mereka dalam DUN Penaga, bukan sebagai pembangkang tetapi sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Naim berharap, rekod perkhidmatan hampir 15 tahun membantu pimpinan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dapat memberi kelebihan untuknya meraih sokongan dan kepercayaan pengundi.

Katanya, platform media sosial juga banyak membantu kelancaran proses berkempen di kawasan itu terutama mendekati pengundi muda.

"Hampir 50 ke 60 peratus pengundi kenal saya melalui medium media sosial terutama TikTok. Alhamdulillah, ini satu medium yang berkesan untuk raih undi.

"Walaupun ramai yang cakap kerusi ini sukar (menang semula), tetapi saya bersandar kepada keyakinan atas kerja kuat dan turun padang, lagipun kempen saya bukan bermula dari hari penamaan calon, sudah lama sejak dulu lagi," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Kepala Batas itu berkata, kemenangan Pas pada PRU14 lalu, tidak boleh disifatkan sebagai kemenangan mutlak dengan anggapan sebagai kubu kuat parti berkenaan.

"Sudah 13 kali PRU kita menang, cuma sekali sahaja kalah, jadi tidak bermakna DUN ini sudah jadi kawasan Pas. Saya mahu kembalikan kerusi ini kepada BN," katanya.

Dalam pada itu, penyandang DUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah yakin tidak berdepan masalah sukar untuk mempertahankan kerusi tersebut apatah lagi dalam keadaan pengundi Melayu yang menolak gabungan UMNO bersama DAP.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu berkata, perjalanan kempen kali ini juga lebih mudah berbanding PRU14 lalu kerana penerimaan positif pengundi terhadap perjuangan Pas dan PN.

"Saya akan teruskan perjuangan agar penduduk di DUN ini dari sudut pembangunan dan kemudahannya menerima layanan sama rata sepertimana kawasan lain," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!