Populariti Anwar tinggi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas lapan bulan diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 negara, populariti dan kadar kepuasan hati rakyat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) merekodkan dapatan berbeza melalui kajian yang dijalankan firma penyelidikan politik, Ilham Center.

Kaji selidik bertajuk 'Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan Dan Dasar Malaysia Madani: Tumpuan Di Enam Negeri Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15', menunjukkan kadar kepuasan hati responden terhadap prestasi Perdana Menteri di Pulau Pinang sebanyak 70 peratus manakala Selangor dan Negeri Sembilan berkongsi peratus yang sama iaitu masing-masing mencatatkan sebanyak 62 peratus kadar berpuas hati.

Sebaliknya kata Pengarah Eksekutif IIham Center, Hisommudin Bakar, di negeri ditadbir pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah mencatatkan kadar kepuasan hati yang rendah.

Hisommudin Bakar
Hisommudin Bakar

Ini membawa makna katanya, pengundi di negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) masih sangsi dengan segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

“Secara keseluruhan daripada enam negeri ini, jumlah yang berpuas hati dengan Perdana Menteri ialah 42 peratus,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dapatan kajian berdasarkan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri.
Dapatan kajian berdasarkan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kajian ini mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 2,416 responden di enam negeri terlibat dengan PRN telah memberikan kerjasama dan terlibat dalam kaji selidik yang bermula pada 11 sehingga 27 Julai lalu.

Manakala terdapat 102 responden terlibat dalam temu bual mendalam (in depth - interview) dan kumpulan fokus (focus group discussion) yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita.

Bagi kaji selidik secara tatap muka di lapangan, data dikumpul oleh enumerator menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh enam negeri berkenaan dengan kaedah pensampelan rawak berstrata meliputi semua peringkat umur, etnik, kumpulan isi rumah, tahap pendidikan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.

Dari segi etnik Hisommudin menambah, dapatan kajian memperlihatkan kaum Melayu menunjukkan kadar kepuasan hati sebanyak 24 peratus berbanding sokongan padu dari kaum Cina (89 peratus), India (81 peratus) dan lain-lain (75 peratus).

Dapatan kajian berhubung hala tuju negara di bawah kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri.
Dapatan kajian berhubung hala tuju negara di bawah kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri.

“Bagi negeri yang ditadbir Kerajaan Perpaduan seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, responden memberikan penilaian yang baik terhadap Perdana Menteri namun peratusan ini diimbangi dengan penilaian berbeza di negeri yang ditadbir pembangkang.

“Kajian ini juga menunjukkan wujud dua garis ketara mengikut kaum. Kaum bukan Melayu jelas menyokong usaha yang dilakukan dengan memberikan penilaian positif kepada Perdana Menteri dan kerajaan namun sebaliknya kaum Melayu memberikan kadar kepuasan hati yang sederhana,” katanya.