Ramasamy 'tunggang DAP' demi jawatan - Anthony

Anthony Loke. - Foto Bernama
Anthony Loke. - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulai Pinang, P Ramasamy sebagai seorang yang tidak ikhlas dan menunggang parti demi jawatan semata-mata.

Menurutnya, ini kerana hanya kerana tidak sampai dua minggu penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau mengumumkan keluar daripada parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramasamy keluar DAP, letak semua jawatan

"Adakah selama ini mereka hanya tunggang parti demi jawatan? Hari ini tiada jawatan terus keluar parti yang mana bagi saya ini tidak ada keikhlasan dalam keberadaan dalam parti.

"Kalau dia sayang kepada parti, dia takkan tinggalkan parti walaupun tak jadi calon. Kita ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan exco lain tak dicalonkan, tetapi yang tidak dicalonkan mereka tetap berkempen atas pentas kita," katanya ketika ditemui berkempen di Kampung Chennah di sini pada Khamis.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan keputusan Ramasamy terbabit kerana sepanjang tempoh berkempen pun pemimpin itu tidak turun membantu.

Bagaimanapun Anthony mengakui terkilan, namun tidak berhasrat untuk merayu supaya kembali bersama parti.

Ini kerana katanya, tindakan beliau itu sudah menunjukkan yang hatinya tidak lagi mahu bersama dengan DAP.

Artikel Berkaitan:

"Dia nak keluar, keluar la... kita tidak akan merayu siapa-siapa yang hendak meninggalkan parti dan parti akan terus kukuh.

"Biasalah ada orang masuk dan ada orang keluar, tapi ada lebih ramai lagi yang nak masuk, itu tidak menjejaskan kepada kita," katanya.

Tambahnya, melihat kepada keputusan Ramasamy terbabit, memang sewajarnya keputusan parti tidak mencalonkan beliau yang jelas tidak ikhlas dalam perjuangannya bersama DAP.

Ditanya sama ada tindakan Ramasamy berkenaan boleh menjejaskan parti, Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, yakin ia tidak akan memberi apa-apa kesan malah sudah menjangkakan perkara berkenaan.

"Ini bezanya ketaatan kepada perjuangan, apabila tidak dicalonkan, apabila seorang itu taat kepada perjuangan parti, dia akan terus tinggal dalam parti bersama berjuang untuk berkempen menangkan parti," katanya.

Ditanya sama ada Ramasamy adalah pengkhianat parti, Anthony berkata, beliau tidak mahu memberi apa-apa istilah tetapi rakyat akan menilai karektor sebenar beliau..

Sebelum ini media melaporkan Ramasamy melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar daripada parti itu pada Khamis.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!