PRN Melaka: MCA akur bertanding dua kerusi

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] MCA akur bertanding di dua kerusi yang diperuntukkan Barisan Nasional (BN) kepada parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden MCA bersama Jawatankuasa Pusat parti pada Rabu susulan rundingan dengan rakan komponen BN.
Beliau berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut memberikan maklum balas positif berhubung isu yang dibangkitkan MCA sebelum ini.
“Kita diberi jaminan bahawa representasi masyarakat Cina, khususnya melalui MCA, tidak akan dipinggirkan dan akan terus berperanan dengan kaedah yang lebih baik. Saya nampak kita sudah mempunyai strategi untuk membuat penyesuaian.
“Ini juga jaminan Ahmad Zahid untuk memastikan penyertaan masyarakat Cina dalam kerajaan negeri tidak dipinggirkan dan sama-sama mendukung cita-cita serta perjuangan BN. Ini perkembangan yang positif,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden MCA di Kuala Lumpur.
Sabtu lalu, BN mengumumkan calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan dua daripadanya diperuntukkan kepada MCA, iaitu penyandang DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, MCA akan menggunakan logo BN dalam pilihan raya tersebut dan perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu kerana hubungan antara kedua-dua parti telah terjalin sekian lama.
“Satu perkembangan positif ialah keperluan mengeratkan silaturahim, terutama menerusi perbincangan khusus demi kebaikan bersama.
“Inilah semangat BN yang tulen dan tidak timbul isu mengenai penggunaan logo BN atau jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada MCA kerana persahabatan ini bukan wujud hari ini, sebaliknya sudah sekian lama.
“Apa yang kita sampaikan kepada Ahmad Zahid turut didengari. Lebih penting, kita diibaratkan seperti adik-beradik yang saling membantu selain kedua-dua parti mempunyai sejarah yang panjang,” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu merapatkan saf bagi memastikan BN memperoleh kemenangan maksimum pada PRN Melaka.
Beliau berkata, kerangka serta strategi yang telah dirancang akan dilaksanakan kemudian dengan perkara itu diberi perhatian khusus oleh Ahmad Zahid.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan MCA membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN), Ka Siong berkata, setakat ini parti itu belum menerima maklumat mengenai senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi gabungan berkenaan.
“Saya cuma boleh katakan bahawa kita akan sentiasa bersama BN dan melihat kawasan yang memerlukan kita bergerak serentak.
“Saya juga belum tahu kerusi mana yang akan ditandingi pihak satu lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
