Kastam rampas rokok seludup RM1.37 juta

Abdul Ghafar (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan yang berjaya diperoleh menerusi serbuan dijalankan serentak oleh JKDM pada 27 Julai lalu.
Abdul Ghafar (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan yang berjaya diperoleh menerusi serbuan dijalankan serentak oleh JKDM pada 27 Julai lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama bernilai RM1.37 juta menerusi operasi khas di tiga negeri pada bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat awam dan risikan selama dua bulan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak yang berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungkai pada 27 Julai 2023, jam 8.15 pagi.

Menurutnya, susulan daripada tangkapan tersebut, pihak kastam telah membuat beberapa serbuan serentak di premis kediaman yang dijadikan sebagai stor simpanan di Puchong, Selangor dan Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur.

"Hasil serbuan tersebut berjaya merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki barang larangan kastam sebanyak 1.81 juta batang dengan keseluruhan nilai rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1.37 juta.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 135 yang sama subseksyen (i)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai atau duti kastam atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Sementara itu, Abdul Ghafar menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Menurutnya, kegiatan penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan pihaknya turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.