Tukang kebun didakwa pukul isteri guna kayu

Tertuduh (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isteri menggunakan sebatang kayu.
Tertuduh (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isteri menggunakan sebatang kayu.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan memukul isteri menggunakan sebatang kayu pada Ahad.

Tertuduh, R Subramanian, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, tukang kebun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, S Shanta Kumari, 54, dengan menggunakan sebatang kayu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Ipoh dalam daerah Kinta sekitar jam 1.14 pagi pagi 20 Ogos 2023.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah menawarkan jaminan RM10,000 bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah memohon jaminan dikurangkan mengambil kira faktor kewangan.

Bapa tiga anak itu telahpun bersara dan hanya melakukan kerja-kerja kebun dengan pendapatan secara harian.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 3 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Lelaki terbabit ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan sebatang kayu di bahagian kaki dan lengan sebelah kiri.

Siasatan mendapati, ketika kejadian lelaki terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan memarahi serta memaki hamun isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu yang pergi menonton wayang bersama keluarga.