Tabung bencana alam ditubuhkan untuk ADUN Sabah

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Tabung bencana alam akan ditubuhkan untuk kegunaan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah bagi tujuan bencana alam yang berlaku di kawasan masing-masing.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ketika ini peruntukan khas spesifik untuk tujuan bencana alam memang telah disediakan namun bukan untuk semua ADUN.

"Soal peruntukan khas spesifik untuk tujuan bencana alam dan sebagainya memang kita sedia ada tetapi bukan untuk setiap ADUN kerana kadang-kadang ada kawasan tidak ada bencana alam, ada kawasan berlaku bencana alam. Kita tidak boleh rangkumkan bahawa semua ADUN mesti ada peruntukan.

"Apa yang kita buat ialah, kita sediakan peruntukan khusus itu sebenarnya apabila saya bentang Rang Undang-Undang (RUU) nanti mengenai tabung amanah salah satu fokus kita tumpukan penubuhan tabung bencana alam ini dan akan diguna semua ADUN dimana saja mereka berada," katanya bagi menjawab soalan tambahan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau sebelum itu menjawab soalan tambahan daripada Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (BN-Nabawan) berhubung adakah kerajaan bercadang untuk sediakan penambahan dana khas untuk setiap ADUN khusus untuk kegunaan kecemasan atau bencana alam di kawasan DUN masing-masing.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fat memaklumkan bahawa peruntukan pembangunan disediakan oleh kerajaan negeri kepada semua kawasan DUN setiap tahun bagi membolehkan semua ADUN dapat melaksanakan tanggungjawab membangun dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing dan ia diselaras serta dipantau oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Artikel Berkaitan: