Kes dadah Yasin: 10 saksi dipanggil beri keterangan

Yasin
Yasin
A
A
A

PETALING JAYA - Pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa pihaknya akan memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan dalam kes dadah membabitkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman.

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, seramai lapan hingga 10 saksi akan hadir pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

"Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes dan kami mendapat arahan agar perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 28 dan 29 Ogos dikekalkan," katanya.

Selain Raja Zaizul Faridah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara Yasin diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.

Mendengar perkara itu, mahkamah kemudiannya mengekalkan tarikh prosiding berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Ariff Azami berkata, keadaan anak guam bertambah baik dan bersemangat.

Menurutnya, keluarga Yasin turut hadir ke mahkamah untuk memberi semangat termasuk ibunya, Suzanah Abdullah, 74.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembelaan berhasrat untuk memanggil Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr Ian Lloyd Anthony untuk memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah memohon satu sepina dikeluarkan dan mahkamah membenarkan permohonan lisan kami itu," katanya.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.