Cuaca panas lit-lit rezeki buat peniaga

Peniaga tembikai pula tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan sehingga mampu terjual lebih tujuh tan sehari. - Gambar hiasan
Peniaga tembikai pula tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan sehingga mampu terjual lebih tujuh tan sehari. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini, pelajar mula bersekolah selepas 13 hari bercuti sempena menyambut perayaan Aidilfitri.

Pembukaan semula persekolahan agak mencabar disebabkan keadaan cuaca panas ketika ini. Ibu bapa pula pastinya risau keadaan anak masing-masing sepanjang berada di sekolah.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membenarkan pentadbir untuk menutup sekolah sekiranya cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) dengan suhu maksimum boleh cecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan yang terbabit di Semenanjung ialah Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan). Di Sabah pula, kawasan yang terbabit ialah Beaufort dan Nabawan.

Segala aktiviti luar melibatkan murid, pelajar dan guru mesti dihentikan antaranya merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian.

Selain itu, pihak pentadbir perlu memastikan bilik di premis sekolah mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan pelajar bagi mengelakkan sebarang risiko seperti strok haba.

Terdapat satu kes kematian akibat strok haba iaitu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Muhamad Syamil Aqil dari Kampung Perupok, Bachok Kelantan pada Syawal ketujuh.

Menurut ibu mangsa yang dikenali sebagai Wanie, hasil bedah siasat yang dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dehidrasi.

Doktor yang merawatnya memberitahu buah pinggang dan jantung anaknya sudah 'hangus'. Selain itu, air dan darah dalam badan juga sudah kering.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), warga emas dan bayi antara golongan berisiko tinggi yang boleh terkena strok haba.

Kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, ibu hamil dan menyusukan anak, penghidap penyakit kronik (sakit jantung dan darah tinggi), pekerja yang terdedah dengan cuaca panas serta individu aktif (ahli sukan) antara golongan tidak digalakkan terlalu mendedahkan diri dengan cuaca di luar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengatakan bahawa terdedah kepada cuaca panas terlalu lama selain terperangkap dalam kenderaan tanpa penyaman udara antara faktor seseorang individu itu boleh mengalami penyakit berkenaan.

Bukan sahaja manusia berisiko terkena strok haba, malah haiwan juga boleh terkena penyakit itu.

Bekas Penolong Pengarah Zoo Negara yang juga Pensyarah Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Profesor Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam berkata, seperti manusia, strok haba terhadap binatang juga boleh meragut nyawa selain menyebabkan kerosakan organ dalaman haiwan jika tidak mendapat rawatan segera.

Dari sudut positif pula, cuaca panas ketika ini membuka pintu rezeki buat peniaga-peniaga air, cendol dan tembikai. Menurut seorang peniaga cendol di Lorong Cendol Bandar Pontian, Noor Mohammad Kadir, jualan cendolnya meningkat sekali ganda berbanding hari biasa kepada lebih 300 mangkuk termasuk cendol yang dibungkus.

Noor Mohammad Kadir yang berusia 63 tahun memberitahu, bahan untuk membuat cendol seperti santan, gula Melaka dan kacang merah turut ditambah bagi menampung permintaan pelanggan ketika ini.

Seorang peniaga tembikai pula tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan sehingga mampu terjual lebih tujuh tan sehari.

Bukan sahaja makanan dan minuman, kipas dan penyaman udara turut laku di pasaran. Cuaca panas dan kering ketika ini ternyata memberi kesan kepada orang ramai yang kini lebih selesa untuk duduk di rumah berbanding keluar berhari raya.

Justeru, ibu bapa digalakkan sentiasa memantau anak-anak bagi mengelakkan pertambahan kes dan kematian akibat strok haba.

Langkah berjaga-jaga penting kerana perubahan cuaca panas melampau tidak pernah dialami sebelum ini. Minum air dimasak secukupnya. Jika tidak berpeluh, suhu badan meningkat, sakit kepala, nadi kuat dan laju, tak sedar dan kulit panas dan kering, itu tanda-tanda strok haba.

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian