Sambutan rakyat terhadap PH, BN meningkat - Anwar

Anwar berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Sungai Bakap pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Sungai Bakap pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sambutan rakyat kini didakwa jauh lebih baik kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berbanding tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dapat melihat kemaraan rakyat dan yakin semuanya akan diterjemahkan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

"Sebab dulu dia dengar semua bab negatif, Anwar akan tarik balik, hak orang Islam akan disekat. Fitnah jadi budaya jadi orang percaya.

"Sebahagian tengok dah tidak jadi, pelajar-pelajar dah tak pakai skirt pun sekarang. Ada orang yang dulu baik dengan kita tapi dia percaya dengan tohmahan kita akan menjadi alat kepada DAPuntuk menentang Islam tapi terbukti sekarang tidak dan insya-ALLAH ini akan berubah," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan masyarakat Sungai Bakap di Gerai Perda Tasek, Simpang Ampat, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan penganalisis politik bahawa PRN kali ini akan mengekalkan status quo iaitu PH-BN kekal memerintah di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, mengulas dakwaan penglibatan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran pekerja asing, Anwar meminta individu berkenaan agar tidak melarikan diri, sebaliknya pertahankan jika tidak bersalah.

"Mana boleh (lari), kalau ada bukti, siasat, dakwa. Kalau dia rasa tidak bersalah, pertahankan bukan lari, bukan contoh yang baik," katanya.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua individu iaitu Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Artikel Berkaitan:

Menurut SPRM, semakan rekod oleh suruhanjaya itu juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lepas, dan setakat ini tiada rekod kedua-duanya telah kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas pembangkang kerana sering bercakap mengenai soal bersih, namun katanya mereka lebih banyak terlibat dengan dakwaan SPRM berkaitan rasuah yang melibatkan nilai wang tinggi.

"Soal bersih itu tak boleh dikatakan...PN, Pas, Bersatu guna bersih kerana mereka terlalu terpalit dengan rasuah besar," katanya lagi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!