Tonjol lebih ramai jurucakap muda fasih Mandarin bawa Agenda Malaysia Biru - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Keperluan mengetengahkan lebih ramai jurucakap muda yang boleh berhujah dalam Bahasa Mandarin antara tiga pelan tindakan yang dicadangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahmad Zahid berkata, BN mahukan bakat-bakat sebegini menyerlah sambil membawa hujah dan fakta tentang Agenda Malaysia Biru.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau sendiri melihat bagaimana anak-anak muda MCA menunjukkan taringnya tidak kira di atas pentas ceramah mahupun semasa siaran 'podcast' sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan termasuk di Melaka baru-baru ini.
"Saya nak tengok mereka di atas pentas BN. Pasukan komunikasi MCA dan BN mesti susun gerak kerja ini bersama-sama.
"Kenal pasti siapa yang boleh bercakap tentang isu tertentu, bekalkan mereka dengan fakta dan beri ruang untuk tampil ke hadapan daripada sekarang," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon Wisma MCA, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA; Datuk Dr Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Selain itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Setiausaha Agung 'People Progressive Party' (PPP), Datuk K Santhra Segaran; mantan-mantan Presiden MCA serta perwakilan dari seluruh negara.
Bagi pelan tindakan kedua, Ahmad Zahid menyarankan MCA supaya meningkatkan segala gerak kerja parti di media sosial dengan lebih agresif.
Presiden UMNO itu berkata, usaha MCA menggunakan video pendek dan 'podcast' untuk menerangkan sesuatu isu dengan lebih jelas sepanjang tiga siri PRN lepas mesti diteruskan.
"Bila rakyat bangkitkan soal kos sara hidup, pendidikan atau perniagaan, jawab dengan fakta dan terangkan tindakan yang sedang diambil," ujarnya.
Pelan tindakan ketiga pula menggariskan perihal penyelarasan strategi MCA dengan hala tuju BN.
Ahmad Zahid berpandangan, perkara yang sudah dipersetujui di peringkat kepimpinan mesti sampai ke akar umbi.
Atas dasar itu, beliau mahu setiap bahagian MCA memberikan lebih perhatian terhadap kawasan yang patut diberi tumpuan di samping memikirkan kaedah untuk bergerak bersama komponen BN di lokaliti masing-masing.
"Kita mulakan daripada sekarang. Saya harap perkara ini jelas dan saya ambil kesempatan untuk bercakap terus-terang dari hati ke hati kepada anda semua.
"Saya buat begini kerana percaya dalam keluarga BN, kita mesti boleh bercakap tentang perkara yang sukar dan tetap keluar daripada dewan ini dengan satu tekad untuk bekerja bersama," ujarnya.
"Kita tiada pilihan lain. Kita mesti menang pada PRU16 akan datang dan saya tak mampu lakukan semuanya sendiri tanpa kalian semua," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
