'Berapa ramai lagi wanita perlu jadi korban?' - Warda Nasional gesa femisid diiktiraf

Nur Atiqah Syazana
Nur Atiqah Syazana
A
A
A

SHAH ALAM - Sayap Wanita Muda Amanah (Warda) Nasional menggesa kerajaan mengiktiraf kes pembunuhan wanita berasaskan gender atau femisid dalam dasar dan statistik negara.

Perwakilannya, Nur Atiqah Syazana Mohd Nasir berkata, kerajaan perlu menyediakan definisi dan panduan jelas bagi mengenal pasti kes pembunuhan wanita yang mempunyai unsur atau motif berkaitan gender selain memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan.

"Masalah utama kita ialah sistem yang masih bersifat reaktif. Kita bertindak selepas nyawa melayang, bukan mencegah sebelum tragedi berlaku.

"Femisid hanyalah hujung kepada satu kitaran keganasan yang jauh lebih luas," katanya ketika membentangkan usul pada Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.

Nur Atiqah Syazana berkata, Malaysia masih belum mempunyai data rasmi femisid, sedangkan statistik keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan kes sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibentangkannya, kes keganasan rumah tangga meningkat daripada 5,507 pada 2023 kepada 7,116 pada 2024 dan 7,391 pada 2025.

Kata beliau, sebanyak 5,862 kes turut direkodkan bagi tempoh Januari hingga September 2026, manakala data Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) hospital kerajaan mencatatkan 12,906 kes penderaan dan keganasan sepanjang 2025, melibatkan 10,176 mangsa wanita.

Rahayu
Rahayu

Nur Atiqah Syazana turut membangkitkan empat kes pembunuhan wanita melibatkan Nur Anisah Abdul Wahab, Nur Farah Kartini Abdullah, Hamidah Husin dan Nurfisya Zulkifly bagi menekankan keperluan menangani keganasan terhadap wanita dengan lebih serius.

"Kita mungkin melihatnya sebagai kes pembunuhan. Tetapi kita juga perlu berani meneliti sama ada terdapat unsur keganasan berasaskan gender, dominasi, kawalan dan sikap memiliki wanita di sebalik kejadian-kejadian ini.

"Persoalannya, berapa ramai lagi wanita yang perlu menjadi korban sebelum kita menganggap keganasan terhadap wanita sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan segera?" ujarnya.

Sehubungan itu, Nur Atiqah Syazana berkata, Warda Nasional mengemukakan 10 tuntutan kepada kerajaan bagi memperkukuh pencegahan, perlindungan dan pemantauan keganasan terhadap wanita.

"(Kami mencadangkan kerajaan) menubuhkan satu badan pemantau yang melibatkan agensi kerajaan, pakar, penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengkaji, memantau serta mencadangkan langkah pencegahan femisid.

"(Kerajaan juga perlu) mengumpulkan data berkaitan pembunuhan wanita, sejarah keganasan, laporan polis terdahulu, ugutan dan perintah perlindungan supaya pola keganasan dapat dikenal pasti," ujarnya.

Beliau turut menggesa pengesanan awal risiko femisid diperkukuh termasuk membabitkan ugutan membunuh, keganasan berulang, perbuatan menghendap, kawalan paksaan dan ancaman selepas perpisahan.

Selain itu, katanya, setiap aduan ancaman perlu diberikan tindakan segera manakala mangsa mesti mendapat perlindungan dan bantuan menyeluruh termasuk tempat perlindungan sementara, bantuan guaman, rawatan kesihatan, kaunseling serta sokongan kewangan.

Usul berkenaan turut menuntut latihan serta kerjasama antara agensi dipertingkatkan, undang-undang berkaitan keganasan terhadap wanita dikaji semula serta pendidikan dan kesedaran awam diperkukuh.

Sementara itu, perwakilan Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional, Rahayu Hamzah yang menyokong usul berkenaan menegaskan kepentingan penilaian risiko dan tindakan segera terhadap tanda-tanda awal keganasan terhadap wanita.

"Ugutan bunuh, perbuatan menghendap, kawalan paksaan dan penderaan berulang memerlukan penilaian risiko serta tindakan segera.

"Wanita yang bergantung dari segi kewangan, ibu tunggal dan wanita luar bandar mungkin masih menghadapi kesukaran mendapatkan perlindungan yang cepat dan menyeluruh," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan masyarakat mengenai ugutan, penderaan dan kawalan melampau yang tidak seharusnya dianggap sebagai tanda cinta.

Usul berkenaan kemudiannya diluluskan selepas mendapat sokongan perwakilan pada konvensyen tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!