Cadangan kerjasama khemah besar: 'Lebih baik dibincangkan secara tertutup' - Anthony Loke

SHAH ALAM - DAP terbuka membincangkan sebarang cadangan berkaitan strategi menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk penggunaan logo parti masing-masing oleh komponen Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua cadangan berkenaan perlu dibawa ke Majlis Presiden PH untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, perkara paling penting ketika ini ialah memastikan semua parti dapat mengumpulkan kekuatan dan mencari pendekatan terbaik bagi menghadapi pilihan raya.
"Segala cadangan seperti itu perlu dibawa ke Majlis Presiden untuk dibincangkan. DAP sentiasa terbuka untuk membincangkan strategi bagaimana menghadapi pilihan raya.
"Yang paling penting ialah kita perlu mengumpulkan kekuatan dan mencari pendekatan paling baik untuk menghadapi pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor di Shah Alam di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han.
Mengulas cadangan kerjasama politik termasuk pendekatan khemah besar atau "big tent" yang dibangkitkan beberapa pihak, Anthony berkata, setiap parti mempunyai pandangan dan cadangan tersendiri.
Bagaimanapun, beliau berpendapat perbincangan seumpama itu lebih wajar diadakan secara tertutup melalui Majlis Presiden berbanding dibangkitkan secara terbuka menerusi media.
Menurutnya, perbincangan terbuka sebelum sesuatu cadangan dimuktamadkan tidak akan mencapai hasrat atau objektif yang diinginkan.
"Lebih baik cadangan dan perbincangan ini diadakan terlebih dahulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka kerana masing-masing ada pandangan.
"DAP ada pandangan kita sendiri. Jadi, lebih baik cadangan itu dibincangkan secara tertutup," katanya.
Ditanya sama ada DAP sudah membincangkan kemungkinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menegaskan perkara itu belum dibincangkan.
"Tidak ada. Seperti yang saya katakan, segala cadangan tidak sepatutnya dikeluarkan begitu sahaja.
"Ia sepatutnya dibincangkan melalui Majlis Presiden. Apa sahaja keputusan jika kita mahu bergerak sebagai satu pasukan, keputusan kolektif mesti dibincangkan dan menjadi keputusan bersama, bukannya kehendak mana-mana satu parti sahaja," katanya.
Dalam perkembangan sama, Anthony mengakui beliau menegur kehadiran perwakilan yang rendah pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor.
Beliau berkata, keadaan itu mungkin berlaku kerana perwakilan kurang berminat menghadiri program parti ketika bukan tahun pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, kepemimpinan negeri bertanggungjawab menerapkan disiplin dalam kalangan anggota parti.
Beliau turut mengingatkan DAP Selangor supaya tidak leka dengan kedudukan parti yang sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri selama 18 tahun.
Menurutnya, parti itu kini berdepan cabaran besar, terutama apabila pihak lawan turut menyasarkan Selangor sebagai negeri penting untuk dimenangi pada pilihan raya akan datang.
"Kita berada pada saat yang sangat penting sekarang. Kita perlu berada dalam keadaan bersedia menghadapi krisis, bukan seperti biasa.
"Mereka tidak boleh menganggap kemenangan pada pilihan raya akan datang sebagai sesuatu yang pasti.
"Cabaran yang kita hadapi sangat besar dan kita tahu pihak lawan sedang mengintai Selangor. Ini hadiah utama yang mereka mahukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan anggota DAP perlu sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga serta mengekalkan semangat dan kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

