Polis P Pinang buka 12 kertas siasatan, lulus 1,131 permit ceramah

Khaw Kok Chin
Khaw Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 1,131 permit ceramah politik bagi pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang telah diluluskan oleh semua ketua polis daerah di Pulau Pinang sepanjang 29 Julai hingga Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semua permohonan yang diterima telah diluluskan dan tiada yang ditolak.

"Hari ini merupakan hari ke-10 tempoh berkempen dan semua 1,131 permohonan permit ceramah yang kita terima telah diluluskan tanpa satu pun ditolak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 12 laporan polis diterima dan kesemuanya dibuka kertas siasatan.

"Laporan yang diterima itu meliputi pelbagai kesalahan iaitu lapan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan satu kes di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan(kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam)/ Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

"Dua kes di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah atau seksaan bagi fitnah)/ Seksyen 233 AKMM 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) dan satu kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (curi)," katanya.

Kok Chin berkata, dalam tempoh 4 hingga 7 Ogos (Isnin), terdapat empat kes telah disiasat melibatkan kesalahan khianat, fitnah dan curi.

"Empat kes berkenaan adalah dua kesalahan merosakkan bendera atau kain rentang parti yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan satu kes berkaitan fitnah dengan niat memanipulasikan calon parti yang bertanding bagi pilihan raya negeri dalam media sosial media (Tiktok).

Artikel Berkaitan:

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah atau seksaan bagi fitnah) dan Seksyen 233 AKMM (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) dan kes teraskhir adalah satu kes curi kerana kehilangan bendera dan kain rentang pilihan raya (Seksyen 379 Kanun Keseksaan)," katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin meminta semua parti politik yang bertanding dan penyokong parti serta masyarakat umum supaya tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sumber-sumber maklumat yang tidak sahih.

"Semua pihak seharusnya mendapatkan maklumat dari sumber yang boleh dipercayai. Semua pihak disarankan supaya merujuk kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau pelanggaran mana-mana undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Tempoh berkempen berbaki empat hari sebelum menjelang hari mengundi PRN15 pada 12 Ogos ini. Justeru, saya ingin mengingkatkan sekali lagi kepada semua pihak agar tidak memainkan isu 3R (bangsa, agama, raja) selain tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen.

"Saya juga menasihatkan kepada semua agar tidak melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihanraya seperti kain rentang, poster, bendera parti dan seumpamanya.

"Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa tanpa mengira status mereka," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!