[VIDEO] Ibu, teman lelaki didakwa abai anak

A
A
A

IPOH - Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak kandung sehingga mendatangkan kecederaan, minggu lalu.

Tertuduh, Kanageswarry, 23, dan S Uthayakumar, 26, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu bersama-sama didapati melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun 6 bulan.

Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak kandung sehingga mendatangkan kecederaan, minggu lalu.
Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengabaikan anak kandung sehingga mendatangkan kecederaan, minggu lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Menglembu Impiana Adril dalam daerah Kinta sekitar jam 4.30 petang pada 2 Ogos 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh.

Peguam Kelvin Francis yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan kesempitan wang kerana kedua-duanya baru sahaja bekerja dan mahu memulakan kehidupan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh lelaki baru ditawarkan kerja sebagai pembantu stor mempunyai tiga anak hasil perkahwinan sebelum ini dan hanya mempunyai sekitar RM3,000 sahaja untuk bayar jamin.

"Manakala tertuduh wanita merupakan ibu muda telah bercerai menanggung seorang anak dengan pendapatan sebagai pekerja pembersihan," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Laporan Sinar Harian pada 3 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 3 Ogos lalu.

Pada 3 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meminta makanan kepada orang awam membongkar rahsia dia didera.

Mangsa yang tinggal sendirian dengan pintu jeriji dikunci ditemui dalam keadaan kelaparan dan terdapat kesan kecederaan di seluruh badannya.

Ketika kejadian, penjaga hanya meninggalkan roti dan air milo sebagai bekalan mangsa ketika mereka keluar bekerja.

Hasil laporan itu, polis membuat tangkapan terhadap ibu mangsa dan teman lelakinya serta merampas paip getah dan rotan yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:Dikunci dalam rumah, budak disyaki didera ditemui kelaparan