‘Tiada istilah rehat walaupun tidak mempunyai jawatan’- Zaidy

Program Sinar Live khas Pilihan Raya Negeri (PRN) bertajuk Rampas semula Taman Templer yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha.
Program Sinar Live khas Pilihan Raya Negeri (PRN) bertajuk Rampas semula Taman Templer yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha.
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Majlis, Malis Perbandaran Selayang (MPS) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) calon DUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib tetap menjalankan khidmat kepada masyarakat di kawasan terbabit.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai ADUN di kawasan tersebut dari tahun 2013 hingga 2018 berkata, khidmat bakti termasuk pembangunan modal insan di kawasan itu dilaksanakan bagi membantu masyarakat.

Menurutnya, kira-kira 500 orang yang terkesan dengan tekanan ekonomi turut dibantu setiap bulan.

“Dalam tempoh 2013 hingga 2018 saya dah buat yang terbaik dan sepanjang tidak menjadi ADUN pun kita masih berkhidmat dalam skala yang mungkin lebih kecil.

“Antara pembangunan modal insan yang kita buat kalau pernah pergi ke Stadium Selayang di situ ada dataran yang kita masyhurkan sebagai astaka ilmu yang lengkap dengan astaka iqra, mural dan kita buat program keilmuan setiap bulan.

“Saya lakukan dengan berbekalkan didikan kita kena terus berkhidmat walaupun tanpa sebarang jawatan,” katanya dalam program Sinar Live khas Pilihan Raya Negeri (PRN) bertajuk Rampas semula Taman Templer yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha pada Isnin.

Zaidy Abdul Talib
Zaidy Abdul Talib

Dalam pada itu, beliau tidak menolak jumlah sokongan terhadap calon Kerajaan Perpaduan boleh bertambah sekiranya diukur berdasarkan gabungan jumlah undi calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, jelas beliau, ia tidak memberi gambaran sebenar terhadap potensi kemenangan calon lawannya itu kerana pihaknya yakin pengundi akan membuat pilihan yang berbeza bagi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Saya boleh membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian saya, tidak semua yang mengundi PH akan mengundi parti yang sama, begitu juga dengan pengundi BN apatah lagi tiada lambang dacing kali ini.

“Saya menjangkakan mereka akan melihat daripada segi hati budi, personaliti, jasa orang-orang yang bertanding di kawasan mereka sendiri di samping mereka juga memperlihat penjenamaan baru yang sedang meningkat naik iaitu PN itu sendiri,” katanya.