Kondominium mewah jadi 'calling center' judi diserbu

Noor Dellhan menunjukkan sebuah kondominium mewah dijadikan tempat perjudian dalam talian di Kia Peng, Kuala Lumpur.
Noor Dellhan menunjukkan sebuah kondominium mewah dijadikan tempat perjudian dalam talian di Kia Peng, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik kondominium mewah akhirnya terbongkar dengan penangkapan tiga lelaki warga asing pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, berdasarkan maklumat orang ramai, satu serbuan dilakukan di sebuah kondominium di Kia Peng, dekat sini jam 6.30 petang.

Beliau berkata, kondominium yang dipercayai disewa sekitar RM7,000 sebulan itu telah dijadikan calling centre atau pusat panggilan perjudian dalam talian sejak sebulan lalu.

"Suspek berusia 30 hingga 60 tahun dipercayai telah menyewa kondominium mewah bagi tujuan keselamatan kerana ia dilengkapi dengan sistem kawalan ketat.

"Nilai kredit taruhan juga diberikan agak besar iaitu minimum sebanyak RM100,000 dan komputer perjudian tidak seperti untuk kegunaan di rumah.

"Selain itu, siasatan awal mendapati suspek utama mempunyai akses kepada perjudian dalam talian di luar negara," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, polis turut merampas beberapa barangan kes seperti lima unit monitor, empat buah telefon bimbit, tiga unit pemprosesan Pusat (CPU) berkualiti tinggi, sebuah modem serta dua unit router.

Noor Dellhan (tengah) menunjukkan peralatan perjudian berkapasiti tinggi yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Kia Peng, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Noor Dellhan (tengah) menunjukkan peralatan perjudian berkapasiti tinggi yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Kia Peng, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kata beliau, suspek pertama direman tiga hari sehingga esok (Selasa), manakala dua lagi suspek disambung reman selama dua hari lagi sehingga Rabu.

Menurutnya, suspek pertama masuk ke Malaysia pada Disember lalu dipercayai untuk mendapatkan rawatan perubatan, sementara suspek kedua masuk ke dalam negara pada Mei dan suspek ketiga pada 2 Ogos.

Jelas beliau, suspek kedua dan ketiga masuk ke Malaysia menerusi pas lawatan.

Katanya, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Rumah Judi Terbuka.

"Kertas siasatan akan disiapkan dengan kadar segera dan seterusnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Selain itu, polis juga akan melakukan rakaman percakapan pemilik kondominium mewah tersebut dan pihak yang menyewa talian internet untuk kegunaan pihak perjudian," ujarnya.

Menurut Noor Dellhan, sebanyak 14 serbuan dilakukan oleh pihak polis ke atas calling centre atau perjudian dalam talian sepanjang tahun ini melibatkan sebanyak 107 tangkapan.

Kata beliau, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 82 tangkapan dan 13 serbuan.