Dua ditahan, kutip derma guna sokongan Ketua Polis Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Dua remaja warga Thailand ditahan selepas didapati menyalahguna surat sokongan yang ditandatangani Ketua Polis Perak bagi tujuan kutipan derma.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu dikesan dalam satu pemeriksaan di hadapan sebuah bank di Gopeng sekitar jam 4.30 petang pada Ahad.

Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua remaja berusia 17 tahun itu sedang menjalankan aktiviti meminta sedekah tanpa kebenaran.

"Suspek didapati secara salah menggunakan surat sokongan yang ditandatangani Ketua Polis Perak dengan memegang tabung yang dilekatkan surat tersebut bagi tujuan meminta derma di sekitar kawasan Gopeng," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati, dua remaja terbabit telah masuk ke negara dengan menggunakan pas lawatan dan menjadi sukarelawan sebuah pertubuhan kebajikan yang beralamat di Taman Ipoh.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, pas lawatan milik seorang daripada yang ditahan telah tamat tempoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(3) Akta Pungutan Derma Rumah ke Rumah dan Jalan 1947.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Beliau meminta orang ramai agar tidak sesekali menyalahguna kebenaran diberikan bagi tujuan tidak sah di sisi undang-undang.

"Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian seumpama ini, orang ramai diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran," katanya.