GRO menyorok atas bumbung

Antara warga asing yang ditahan.
Antara warga asing yang ditahan.
A
A
A
PETALING JAYA - Jabatan Imigresen Selangor menggempur sebuah pusat hiburan dan pangsapuri dalam serbuan berasingan di Sungai Way dan Seksyen 16, Shah Alam.

Operasi penguatkuasaan yang membabitkan 62 pegawai serta anggota ini dijalankan pada jam 11.30 malam tadi, hasil maklumat dan risikan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam serbuan ini, seramai 128 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 53 orang berusia 18 hingga 48 tahun telah dikesan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Dalam serbuan pertama di pusat hiburan tujuh tingkat, seramai 37 warga asing termasuk tujuh lelaki dipercayai bekerja sebagai pelayan dan gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan.

"Ketika serbuan, warga asing ini cuba melarikan diri dan bersembunyi di atas bumbung, namun tindakan itu hanya sia-sia selepas berjaya dikesan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pecahan, tangkapan warga Vietnam seramai 25 orang, China (2 orang), Thailand (1 orang), Indonesia (1 orang), Laos (1 orang) dan Bangladesh (7 orang).

Mengulas lanjut, dalam serbuan kedua, seramai 16 warga asing telah ditahan dalam pemeriksaan sebanyak 63 unit rumah.

"Tangkapan membabitkan warga India (9 orang), Indonesia (6 orang) dan seorang Pakistan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Artikel Berkaitan: