Anwar saran syarikat perladangan tanam sayur, buah-buahan

Anwar berucap semasa hadir pada Hi-Tea bersama pekerja industri dan pembuatan negeri Pulau Pinang di Dell Global Business Center pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar berucap semasa hadir pada Hi-Tea bersama pekerja industri dan pembuatan negeri Pulau Pinang di Dell Global Business Center pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan syarikat perladangan tempatan yang memiliki rizab tanah besar supaya menanam sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menampung keperluan makanan dalam negara yang semakin meningkat.

Anwar berkata, beliau sudah memberi arahan kepada syarikat seperti Sime Darby Bhd, FGV Holdings Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd untuk melaksanakan penanaman tanaman makanan seperti itu.

"Ini adalah langkah jangka sederhana yang kita boleh buat untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Malaysia ni subur, mengapa sayur dan buah tidak cukup? Ini soal bekalan dan permintaan.

"Kerana itulah kita minta syarikat besar ini untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Harga cili dan bawang kini tinggi melangit kerana semuanya diimport," katanya dalam Sesi Dialog dan Minum Petang bersama warga Dell Technologies di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, syarikat besar terbabit memiliki kepakaran dan sumber untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Anwar juga berkata, bagi menangani isu kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan terus memberi subsidi bagi bahan makanan asas dan memperluas inisiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka pendek.

Mengenai perancangan kerajaan untuk menstabilkan nilai ringgit berbanding mata wang asing terutama dolar Amerika, beliau berkata, isu itu sangat kompleks kerana ia ada hubungan dengan kesan tindakan ekonomi yang diambil oleh Amerika Syarikat yang di luar kawalan Malaysia.

Justeru, Perdana Menteri berkata, adalah amat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia dengan mengekalkan kestabilan politik di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Sekarang ini, ringgit menguat sedikit disebabkan oleh kemasukan pelaburan asing seperti Tesla, Bosch, Geely dan Saudi Aramco maka jangan remehkan keperluan untuk satu kerajaan yang stabil dengan dasar ekonomi yang jelas.

"Kita tidak boleh hanya menyerahkan nasib kita kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat kerana keputusan mereka mengenai kadar faedah akan memberi kesan kepada seluruh dunia namun kita boleh mengawalnya dengan memastikan wujud kestabilan dalam kerajaan melalui dasar ekonomi," katanya. - Bernama