Isu bekalan air bersih: Henti main sentimen Kelantan dianaktirikan

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas diingatkan supaya berhenti memainkan isu negeri itu dianaktirikan terutama membabitkan soal masalah air.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jika diikutkan kepada perlembagaan hasil tanah, pengurusan sumber alam termasuk air adalah di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, sebab itu satu ketika dahulu bekalan air bawah tanggungjawab kerajaan negeri bukan di Kelantan sahaja tetapi di negeri lain juga.

“Cuma awal tahun 2000 kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenal pasti ada masalah wujud iaitu pelaburan untuk menyediakan loji rawatan air yang kosnya tinggi mencecah bilion ringgit.

“Kalau serah ikut kemampuan negeri masing-masing, kita berhadapan ada negeri yang mampu seperti Selangor dengan Pulau Pinang sebab dia kaya dan ada negeri yang tak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video ceramah Jelajah Madani yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Sabtu.

Jelasnya, disebabkan isu itu berlaku, maka penstrukturan bekalan air sekitar tahun 2005 dan 2006 itu dinamakan Akta Perindustrian Air.

“Masa itu perjanjian negeri-negeri dan Persekutuan ialah memisahkan tanggungjawab pelaburan untuk bantu kerajaan negeri agar tidak dibebankan dengan pelaburan untuk menyediakan loji-loji rawatan air," katanya.

Rafizi berkata, kerajaan Persekutuan menubuhkan satu badan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

“Ini disebabkan kerajaan Persekutuan lebih mudah untuk pergi ke pasaran dan berhutang untuk menerbitkan bon air.

“Nak bina satu loji rawatan air, PAAB akan terbitkan bon hutang, kerajaan Persekutuan jamin dia boleh ambil dua tiga bilion duit itu kemudiannya digunakan wang Persekutuan untuk bina loji-loji rawatan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri pula tanggungjawabnya ialah menguruskan bekalan air, maka mereka perlu menyewa aset loji rawatan air yang telah dibayar oleh kerajaan Persekutuan sebagaimana sewaan rumah.

“Jadi tanggungjawab negeri ambil air dan agihkan kepada pengguna, kutip duit serta perlu pastikan duit yang dikutip itu cukup untuk bayar sewa mesin,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, kaedah terbabit digunapakai di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

“Maka tidak timbul langsung soal Kelantan dianaktirikan, layanan sama diterima kerajaan negeri iaitu komitmen kerajaan Persekutuan bila ada keperluan untuk bina loji rawatan berharga berbilion ringgit ini yang ditanggung kerajaan Persekutuan.

“Jadi jika kutipan bil air ini diurus dengan baik, hasil itu adalah mencukupi untuk membayar sewa loji dan cukup bagi naik taraf saluran paip dan sebagainya.

“Model ini berjalan baik di semua negeri, mengapa Kelantan tak boleh buat?" soalnya.