MCOBA hulur sumbangan, santuni Wad Penyayang

Ahmad Burhanuddin (duduk, tengah) bersama ahli MCOBA dan UEM Edgenta menghulurkan sumbangan ketika melawat Wad Penyayang, Hospital Kuala Kangsar pada Sabtu.
Ahmad Burhanuddin (duduk, tengah) bersama ahli MCOBA dan UEM Edgenta menghulurkan sumbangan ketika melawat Wad Penyayang, Hospital Kuala Kangsar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Persatuan Pelajar Tua Kolej Melayu (MCOBA) meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan sumbangan penjagaan diri dan kesihatan kepada pesakit serta petugas di Wad Penyayang, Hospital Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Presiden MCOBA, Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Datuk Seri Adnan berkata, meskipun ahli sibuk dengan kerjaya, mereka dapat meluangkan masa meneruskan aktiviti kemasyarakatan sempena program 'Old Boys Weekend'.

"Selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik Covid-19 dan ubah suai bangunan, MCOBA meneruskan kembali program bersama masyarakat yang bermula sejak 2005 lalu.

"Kita berhubung dengan wad ini bagi mendapatkan keperluan semasa dan berjaya mengumpul sumbangan daripada ahli-ahli (MCOB) sendiri dan kali ini bersama syarikat UEM Edgenta," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Pada program itu, 15 ahli MCOBA bersama UEM Edgenta yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin melawat pesakit Wad Penyayang yang terdiri daripada warga emas yang menjalani rehabilitasi geriatrik.

Menurut Ahmad Burhanuddin, program ini merupakan salah satu kaedah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) untuk terus berbakti kepada komuniti setempat.

"Kami juga sempat bertemu dengan pelajar daripada keluarga B40 pagi ini dan menjadikan mereka sebagai anak angkat. Ia menjadi pendorong mereka terus berdaya saing dan mencipta kecemerlangan dalam akademik.

"Darj segi jangka panjang, kita berhasrat membantu MCKK seperti pemulihan bangunan sekolah lama dan baru serta memperkasakan DNA kolej ini dalam kemenjadian pelajar agar menjadi pemimpin yang berjaya masa hadapan," katanya.