Kadar pengangguran negara dijangka dapat diturunkan - TPM

Ahmad Zahid (kiri) menyampaikan bantuan faedah PERKESO kepada salah seorang pencarum pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs bersama HAWA di Kepala Batas pada Sabtu.
Ahmad Zahid (kiri) menyampaikan bantuan faedah PERKESO kepada salah seorang pencarum pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs bersama HAWA di Kepala Batas pada Sabtu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kadar pengangguran negara dijangka dapat diturunkan kepada 2.5 peratus pada suku pertama tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan positif itu berikutan usaha kerajaan membawa masuk pelabur asing berteknologi tinggi sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kadar pengangguran negara pada suku pertama tahun ini mencatatkan 3.5 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

“Saya yakin bahawa pada suku pertama tahun depan kadar pengangguran ini dapat turun lagi kepada 2.5 peratus.

“Apa yang dilakukan ini adalah kerana mendokong fikrah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk kita (kerajaan) menoktahkan kemiskinan rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak termasuk kursus keusahawanan,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA) pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata,pihak industri perlu lebih banyak membuka peluang pekerjaan kepada kaum wanita berikutan peratusan tenaga kerja bagi golongan itu dilihat masih rendah.

“Guna tenaga kerja wanita di alam pekerjaan ketika ini hanya 62.5 peratus dan berharap Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersama HAWA dapat memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada golongan ini, dimulai dengan latihan-latihan keterampilan atau latihan kemahiran.

“Kita sudah tubuh TVET untuk wanita yang saya minta sasaran untuk melatih 15,000 wanita ditingkatkan kepada 150,000 wanita di seluruh negara untuk golongan ini diberi banyak peluang dalam industri pekerjaan yang tidak hanya bidang domestik tetapi turut berkaitan teknologi tinggi,” katanya.