Perak tubuh task force tangani projek rumah sakit, terbengkalai

Sandrea Ng Shy Ching . - Foto Bernama
Sandrea Ng Shy Ching . - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan negeri Perak akan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu perumahan termasuk yang melibatkan projek sakit dan terbengkalai.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, jawatankuasa tersebut diterajui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama agensi dan jabatan pelaksana terlibat.

"Selepas saya pegang portfolio ini, memang dari semasa ke semasa kita menerima aduan daripada pembeli mengenai kualiti rumah dibina, ada juga isu dibangkitkan mengenai pengurusan projek, malah cadangan daripada pemaju, pihak persatuan dan agensi kerajaan juga diterima.

"Harap dengan adanya jawatankuasa ini, kerajaan negeri dapat mainkan peranan menyelaraskan semua aduan dan cadangan untuk sama-sama mengurangkan serta menyelesaikan masalah berkaitan perumahan dilaporkan," katanya.

Menurut beliau, penubuhan pasukan itu juga bagi menyahut saranan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mempunyai jawatankuasa khas sendiri menangani masalah perumahan berlarutan.

"Cuma untuk Perak, kita rancang jawatankuasa itu meliputi fungsi yang lebih luas bukan setakat tangani projek rumah sakit dan terbengkalai sahaja," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, lima projek perumahan di Perak iaitu masing-masing di Kuala Kangsar, Beruas Kampar, Tapah dan Lumut diisytiharkan sebagai terbengkalai manakala 60 lagi tersenarai sebagai projek sakit.

Katanya, projek terbengkalai di Kuala Kangsar melibatkan perumahan swasta Taman Mayang Fasa 2 dijangka dapat dikeluarkan dari senarai terbengkalai tahun depan selepas menerima peruntukan RM1.5 juta daripada KPKT bagi menyiapkan kerja menaik taraf loji rawatan kumbahan.

"Walaupun kita faham ini tanggungjawab pemaju asalnya, tetapi apabila isu berlarutan, kerajaan cuba main peranan menyelesaikan masalah demi kepentingan penduduk," katanya.

Sandrea sebelum itu ditemui dalam lawatan kerja Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke ke Taman Mayang Fasa 2 dekat sini pada Jumaat.

Projek terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat dan 22 unit rumah berkembar dua tingkat itu diisytiharkan terbengkalai pada September 2018 disebabkan kegagalan memperolehi sijil kelayakan menduduki (CF) berikutan loji rawatan kumbahan sedia ada belum mendapat sokongan dan perakuan Indah Water Konsortiun (IWK).

Menerusi peruntukan diberikan, kerja-kerja menaik taraf loji dapat dilaksanakan sehingga keseluruhan projek mendapat perakuan siap dan pematuhan.