Sembunyi bawah meja, dalam almari elak dicekup

JIM Kuala Lumpur menahan 425 PATI dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada Sabtu.
JIM Kuala Lumpur menahan 425 PATI dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pangsapuri yang dipenuhi dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Taman Bukit Cheras, di sini digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Sabtu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, operasi kira-kira jam 1 pagi itu bertindak memeriksa 600 warga asing dalam serbuan di tiga blok pangsapuri terbabit.

Katanya, daripada jumlah itu 425 PATI berusia lingkungan lapan hingga 54 tahun diberkas kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Tangkapan terdiri daripada 371 lelaki, 53 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

"Tangkapan membabitkan 30 warga Indonesia, Bangladesh (252), Myanmar (108), Filipina (dua), Pakistan (tujuh), Kemboja (6) dan Nepal (20)," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada Sabtu.

JIM Kuala Lumpur menahan 425 PATI dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada Sabtu.
JIM Kuala Lumpur menahan 425 PATI dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi hari ini dijalankan dengan kekuatan seramai 80 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur susulan aduan diterima daripada penduduk yang khuatir dengan jumlah PATI terlalu ramai di kawasan itu.

Mengulas lanjut, kata Syamsul, pelbagai helah cuba dilakukan PATI untuk meloloskan diri antaranya cuba bersembunyi di bawah meja dan dalam almari.

Ujarnya, soal siasat dijalankan mendapati beberapa PATI yang ditahan mengakui menyewa kediaman tiga bilik itu daripada warga tempatan dengan kadar sekitar RM700 ke RM900 setiap rumah.

"Majoriti daripada PATI yang ditemui merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja dalam pelbagai bidang antaranya pembersihan serta pembinaan," katanya.

Tambahnya, JIM akan membuat pemeriksaan dan menyiasat pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada golongan PATI.

Kes disiasat Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.