Malaysia di landasan tepat jadi 'harimau digital Asia'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Malaysia kini di landasan yang tepat untuk menjadi 'harimau digital Asia' sejajar dengan usaha negara ini menghampiri dekad keemasan digitalnya, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, negara sedang memberikan tumpuan untuk memperkukuh infrastruktur 5G, yang disokong oleh peneraju global seperti Ericsson, syarikat rangkaian dan telekomunikasi multinasional Sweden yang telah membina kilang pembuatan peralatannya di Malaysia.

"Ericsson akan turut meningkatkan kemampuan pembuatan tempatan dan merangsang ekosistem yang teguh yang akan memacu kemajuan kes dan perkhidmatan 5G baharu dan inovatif.

"Merangkumi banyak industri termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan banyak lagi, 5G akan meningkatkan kesalinghubungan, kelajuan dan kebolehpercayaan untuk perniagaan dan pengguna," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Teo Nie Ching ketika pelancaran kemudahan pembuatan peralatan 5G di sini hari ini.

Fahmi berkata, kemajuan infrastruktur 5G akan membentuk tunjang ekosistem digital yang mampan dan akan memesatkan lagi transformasi Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi yang inklusif, dipacu secara digital dan berpandukan teknologi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Menurutnya, liputan rangkaian 5G di Malaysia kini berada pada 64.7 peratus daripada kawasan berpenduduk, dengan 5,289 menara 5G telah dibina di seluruh negara setakat 30 Jun 2023.

Di Pulau Pinang, liputan rangkaian 5G mencapai 67.7 peratus daripada kawasan berpenduduk yang menunjukkan pencapaian melangkaui purata nasional dengan 290 daripada 470 menara 5G telah dibina.

"Laporan Opensignal, laman sesawang yang khusus dalam pengukuran dan analisis prestasi rangkaian mudah alih menyatakan Malaysia telah menjadi peneraju global dalam ketersambungan 5G menerusi rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai.

"Malaysia turut berada dalam kedudukan teratas median kelajuan muat turun 5G di seluruh pasaran Asia Pasifik sebagaimana dinyatakan dalam laporan terkini oleh Ookla, peneraju global dalam risikan rangkaian dan pandangan berkaitan ketersambungan," katanya.

Fahmi berkata, ini menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk melangkah ke hadapan dan menerima sepenuhnya 5G yang akan memberi impak transformatif untuk perniagaan tempatan, manakala pengguna dan perusahaan Malaysia akan turut mendapat manfaat secara langsung daripada peningkatan kelajuan, kependaman lebih rendah serta kebolehpercayaan yang lebih baik.

Dalam pada itu, hasrat Malaysia untuk mempercepat pelaksanaan 5G turut menggalakkan aspek perkongsian infrastruktur secara cekap selain meningkatkan kuasa penggunaan dan mengurangkan pelepasan karbon.

"Saya sendiri amat percaya bahawa inisiatif seumpamanya itu akan terus menyokong dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai nadi Digital Asean.

"Ini akan menyuntik inspirasi serta menggalakkan lebih ramai pemain industri untuk terus memanfaatkan Malaysia dalam usaha mengembangkan kedudukan mereka di rantau ini," katanya. - Bernama