Sultan Selangor terima zakat perniagaan RM13.1 juta

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 72 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 orang asnaf pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya' Ramadhan) Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1440 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 72 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 orang asnaf pada Majlis Berbuka Puasa (Ihya' Ramadhan) Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1440 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM13.1 juta pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Enam syarikat berkenaan adalah Kumpulan DRB Hicom Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, UMW Holdings Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Kesemua syarikat itu menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Pada majlis sama, Sultan Sharifuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 27 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 mualaf.

Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan jumlah zakat sebanyak RM271,500.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; dan Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Sementara itu, Mohammed Khusrin dalam ucapannya berkata, sepanjang bulan Ramadan dan Syawal tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan RM26.3 juta untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri Selangor.

Daripada jumlah tersebut, RM7 juta diagihkan kepada asnaf fakir, RM17 juta diagihkan kepada miskin dan RM1.5 juta kepada mualaf.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini, LZS telah melantik seramai 2,699 penolong amil fitrah di seluruh negeri bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

"Umat Islam di Selangor dinasihatkan untuk membayar zakat fitrah hanya kepada amil yang dilantik oleh LZS yang mempunyai kad tauliah.

" Selain itu mereka juga boleh melaksanakan pembayaran zakat fitrah di 27 buah cawangan LZS di seluruh negeri ini di mana LZS beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan," katanya. -Bernama