Bina telaga tiub demi sumber air

Nik Mustapha menunjukkan telaga tiub yang dibina bagi mendapatkan bekalan air di rumahnya di di Kampung Batu 5 1/2.
Nik Mustapha menunjukkan telaga tiub yang dibina bagi mendapatkan bekalan air di rumahnya di di Kampung Batu 5 1/2.
A
A
A

TANAH MERAH - Penduduk di Kampung Batu 5 1/2 Jalan Bendang Nyior di sini masih berharap bekalan air bersih sejak lebih 10 tahun lalu.

Kebanyakan penduduk terpaksa membina telaga tiub walaupun berdepan kerosakan enjin air akibat ketinggian kawasan tempat tinggal dan tekanan air rendah.

Penduduk turut terkesan setiap kali musim kemarau kerana kesukaran enjin mengepam air, malah perlu mengeluarkan belanja untuk membeli air di kedai berdekatan.

Pekerja buruh, Nik Mustapha Mohd Bukhari, 55, membina telaga tiub sejak tiga tahun lalu selepas telaga di kediamannya keruh dan berbau busuk.

"Saya terpaksa bersabar dan berharap masalah ini dapat diselesaikan selepas pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di kampung itu pada Khamis.

Nik Mustapha juga memberitahu terpaksa membeli air bersih hanya untuk membasuh pakaian sekolah anak-anaknya bagi mengelakkan berwarna kuning.

Sementara itu, pesara askar, Mohd Ridzuan Samat, 45, berkata, penduduk tiada pilihan lain dengan membina telaga tiub walaupun air kotor dan berubah warna.

Mohd Ridzuan turut mendakwa, pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh tidak sempat siap apabila air tiba-tiba kering kerana masalah enjin air.

"Keadaan kawasan yang berbukit mengakibatkan air sukar dipam dan enjin pula cepat rosak," katanya.

Nik Mustapha dan Mohd Ridzuan antara 20 penduduk yang masih menggunakan sumber air perigi dan telaga tiub di kawasan itu.

Beberapa kampung sekitar lain yang terlibat ialah Kampung Bukit Kuin, Kampung Batu 6, Kampung Batu 4 dan Kampung Bechah Laut.