Jangan ada 'Napoleon Kecil' dalam pengurusan sekolah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASTINYA ramai ibu bapa merasa lega apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengeluarkan arahan meminta pihak sekolah membuat penilaian terhadap semua kemudahan dan infrastruktur di bawah pentadbiran mereka.

Kenyataan yang diwartakan pada 22 Julai 2023 bertujuan memastikan setiap kemudahan sedia ada di sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik dan selamat digunakan oleh pelajar.

Terbaharu pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara tahun ini.

Antara penambahbaikan yang perlu diutamakan ialah membaiki kemudahan tandas, kantin dan bilik asrama. Ini penting demi memberi keselesaan kepada pelajar dan semangat untuk mereka hadir ke sekolah.

Merak Jalanan masih ingat keluhan ibu bapa mengenai infrastruktur sekolah-sekolah di pinggir bandar dan luar bandar yang tidak diselenggara dengan baik.

Walaupun beberapa aduan, namun ia gagal mendapat perhatian pihak berwajib secara pantas dan kalau diberi perhatian pun akan memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Mungkin sesetengah pihak sekolah enggan membuat laporan kerosakan dan kedaifan kerana khuatir, ini akan menjejaskan imej sekolah berkenaan. Atau mungkin tidak mahu dicap sebagai tidak cekap dalam mengurus aset dan kemudahan sekolah.

Seperkara lain, ketika Merak Jalanan terlibat misi bantuan ke sekolah luar bandar, ada mengatakan wujud ‘Napoleon Kecil’ di sesetengah sekolah. Jika ini benar berlaku, amat mengecewakan.

Merak Jalanan yang pernah menjadi ahli persatuan ibu bapa di sekolah luar bandar amat sedih jika tata kelola sekolah tidak diikuti sebaiknya.

Perkara ini akan menjejaskan institusi pendidikan membabitkan kemudahan para pelajar.