Kisah gelandangan di sebalik hiruk-pikuk Chow Kit

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Kalangan pembeli dan pengunjung ke bazar di Lorong Haji Taib yang sentiasa sibuk berhampiran pasar borong Chow Kit di sini, mungkin sudah biasa dengan kehadiran gelandangan yang berkeliaran di kaki lima kedai di situ.

Gelandangan yang tampil selekeh dan kotor itu mungkin dilihat sebagai mengganggu apatah lagi kerana mereka tidak menyumbang atau memberi manfaat kepada masyarakat.

Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan ‘penghuni’ lorong-lorong di situ, penulis menyertai sekumpulan sukarelawan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada suatu malam Mac lepas mengunjungi Lorong Haji Taib untuk memberi bantuan kepada mereka.

Lawatan itu berakhir dengan penulis membuat kesimpulan bahawa tidak adil untuk menilai golongan gelandangan, kerana sesetengah daripada mereka sebenarnya berasal dari keluarga yang baik-baik. Malah mereka juga pernah mempunyai pekerjaan yang elok sebelum ditimpa nasib malang dan berkeadaan begitu.

Terdiri daripada 55 pelajar dan tiga pensyarah, lawatan pasukan UPSI ke Lorong Haji Taib adalah sebahagian daripada aktiviti sukarela yang dijalankan di bawah program 'Sinar Harapan' universiti itu.

Mereka menyediakan makanan, memberi perkhidmatan percuma memotong rambut, mengagihkan pakaian terpakai serta menyediakan pemeriksaan kesihatan kepada golongan memerlukan di situ, selain menganjurkan sukaneka untuk anak-anak gelandangan.

DUA JENIS GELANDANGAN

Aktivis sosial Nur Akma Ali, yang kerap memberi perkhidmatan sukarela kepada golongan gelandangan, turut hadir ketika sukarelawan UPSI mengunjungi Lorong Haji Taib pada malam itu.

Beliau memberitahu Bernama bahawa terdapat dua kategori gelandangan -- pertamanya adalah golongan yang tidak mempunyai kediaman sendiri dan tiada pekerjaan tetap manakala yang kedua pula adalah penagih dadah.

Kumpulan pertama, menurut Nur Akma, bernasib baik kerana sering dibantu oleh individu serta badan bukan kerajaan (NGO), namun seringkalinya golongan kedua iaitu yang terlibat dengan dadah, dipandang hina dan diabaikan masyarakat.

“Pada pendapat saya, penagih dadah tidak pernah mengganggu orang ramai, malangnya rakyat mempunyai sikap negatif terhadap mereka,” katanya.

Sebagai pekerja sosial, Nur Akma mengunjungi penagih dadah gelandangan tiga kali seminggu “kerana mereka juga orang biasa seperti kita dan memerlukan bantuan kita”.

Beliau berkata penagih dadah juga melakukan kerja-kerja kasar seperti mengumpul dan menjual tin kosong, serta membaiki peralatan elektronik untuk mencari nafkah bagi diri dan keluarga mereka.

Tiga kali seminggu, Nur Akma menyediakan makanan seperti biskut dan roti untuk golongan gelandangan di sekitar Lorong Haji Taib 1, 2, 3 dan 4. Beliau juga menganjurkan kelas membaca Al-Quran sekali seminggu untuk mereka.

“Kira-kira 50 gelandangan dan anak-anak mereka menghadiri setiap kelas. Saya harap kelas ini akan memberi manfaat dan membantu mereka untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik,” kata Nur Akma.

TUKANG BAIKI JAM

Agak mengejutkan apabila penulis mendapati kebanyakan gelandangan sentiasa sibuk dengan aktiviti masing-masing, terutamanya menyelongkar mencari barang-barang yang boleh dijual, meskipun sudah lewat 10 malam.

Rupa-rupanya, mereka hanya tidur selepas waktu tengah malam setelah “selesai kerja”. Mereka tidur di mana sahaja yang dirasakan selesa, walaupun bersebelahan tempat pembuangan sampah atau di dalam longkang.

Salah seorang daripada mereka, yang hanya mahu dikenali sebagai Ijam, sibuk menyelongkar satu timbunan sampah di Lorong Haji Taib 4, mencari jam tangan terpakai.

Berusia 42 tahun dan berasal dari Sembulan, Sabah, Ijam mahir membaiki jam tangan dan setiap hari, dia akan pergi ke Pasar Karat di Petaling Street, di sini, dengan bas untuk menjual jam tangan yang diperbaikinya. Purata pendapatannya ialah RM20 sehari, bergantung kepada jumlah jam yang dijual.

Ijam berkata kehidupannya hancur selepas dipecat daripada sebuah kilang di Shah Alam. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai kontraktor pengubahsuaian rumah di Kota Kinabalu.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

“Dunia saya tiba-tiba jadi gelap selepas dipecat, saya tidak mempunyai pekerjaan tetap atau tempat tinggal jadi saya tinggal di tepi-tepi jalan di Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah bahawa dia meninggalkan Sabah untuk bekerja di Semenanjung kerana mahu memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarganya.

Ijam memahat harapan untuk kembali bekerja sebagai kontraktor pengubahsuaian rumah.

“Selepas kehilangan pekerjaan, saya tidak dapat membantu keluarga di Sabah. Impian saya adalah untuk menjadi kontraktor berjaya suatu hari kelak. Sementara itu, saya akan terus membaiki dan menjual jam tangan terpakai untuk mencari rezeki,” tambahnya.

PUPUK SIKAP POSITIF

Seorang lagi gelandangan yang hanya ingin dikenali sebagai Vince memberitahu Bernama bahawa keluarga menghalaunya dari rumah lima tahun lalu selepas dia mula mengambil dadah.

Bekas pemandu lori berusia 35 tahun itu berkata seorang rakan sekerja memperkenalkannya kepada heroin, opioid yang diperbuat daripada morfin yang boleh menyebabkan ketagihan teruk.

“Sebaik sahaja keluarga tahu mengenai ketagihan saya, mereka membuang saya dan ibu pula tidak mengaku saya anaknya. Tidak lama selepas itu, saya diberhentikan kerja kerana ketagihan semakin teruk. Saya juga diisytihar bankrap,” katanya.

Vince, yang berasal dari Teluk Batik, Lumut, Perak, berkata dia datang ke Kuala Lumpur pada 2014 dan percubaannya untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pemandu lori tidak berhasil, berikutan masalah ketagihannya.

“Ketagihan saya semakin teruk dan tiada siapa yang mahu membantu kecuali rakan-rakan di Lorong Haji Taib 4. Saya tidak pernah mengganggu orang ramai walaupun mereka memandang rendah pada saya dan kawan-kawan di sini,” katanya.

Dia memperoleh sedikit pendapatan dengan mengumpul dan menjual tin dan barang-barang plastik terpakai. Dia juga mendapat bantuan makanan dari orang ramai seperti Nur Akma dan kawan-kawannya yang tinggal di kawasan yang sama.

Vince mengakui menantikan hari di mana dia berjaya melepaskan diri daripada belenggu dadah dan menjadi manusia berguna semula supaya dapat kembali kepada keluarganya di Perak.

Sementara itu, Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Md Amin Md Taff berkata aktiviti sukarela yang dijalankan oleh pihak universiti di Lorong Haji Taib di bawah program ‘Sinar Harapan’ itu bertujuan memupuk sikap positif terhadap golongan memerlukan seperti gelandangan.

“Ini adalah untuk mendidik pelajar kami supaya keluar berjumpa golongan yang jarang mendapat perhatian orang ramai dan yang memerlukan bantuan. Kami mahu agar pelajar akan lebih prihatin tentang apa yang berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata program itu juga mendedahkan pelajar kepada kesukaran yang dihadapi golongan gelandangan dan mengajar mereka untuk lebih bersyukur dengan apa yang mereka miliki.

“Saya berharap institusi pengajian lain juga akan melaksanakan program yang sama kerana kegiatan ini akan membantu pelajar memupuk nilai-nilai kemanusiaan,” katanya. -Bernama